Masyarakat antarabangsa digesa perangi Islamofobia, kata menteri


Penunjuk perasaan membakar potret politikus haluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan, di hadapan Konsulat Jeneral Sweden di Istanbul. Ia berikutan tindakan Rasmus membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sweden, Sabtu lalu. – Gambar AFP, 23 Januari, 2023.

MALAYSIA menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza agama dalam komuniti global yang pelbagai.

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan serta kebencian terhadap Islam termasuk sentimen islamofobia dan ekstremisme.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) berikutan tindakan Islamofobik ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrim Rasmus Paludan yang bertindak membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sweden pada Sabtu (21 Januari) dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu.

“Tindakan keji ini jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia yang telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

“Ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu, tanpa mengira agama, adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk. Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina. Ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama,” katanya.

Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan terkutuk ini dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

“Tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada pelbagai pihak, tidak boleh diterima sama sekali dan boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turki di Stockholm yang mencetuskan kemarahan dunia Islam. – Bernama, 23 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen