SEORANG wartawan radio popular di Cameroon yang hilang dipercayai diculik, ditemui mati, kata polis.
Martinez Zogo adalah pengarah urusan stesen radio swasta berpangkalan di Yaounde, iaitu Amplitude FM dan menjadi penyampai utama program harian yang popular, Embouteillage (Gridlock).
Wartawan berusia 51 tahun itu sering membawa isu rasuah, dan tidak gentar mempertikaikan mana-mana individu penting, malah berani menyebut nama mereka di udara menerusi programnya.
Beliau hilang sejak Selasa lalu.
“Saya ke Ebogo (15km ke utara Yaounde) awal pagi ini di mana saya lihat dan kenal itu Martinez Zogo. Timbalan pendakwa raya turut serta dan isterinya di situ untuk mengenal pasti mayatnya,” kata Ketua Pengarah Amplitude FM Charly Tchouemou.
Kematian Zogo disahkan oleh sumber polis.
Orang ramai berkumpul ketika mayat Zogo dibawa ke rumah mayat di hospital besar Yaounde untuk bedah siasat, kata ahli keluarganya.
Media sosial menjadi medan orang ramai meluahkan perasaan, susulan kehilangan mangsa, dengan Reporters Without Borders (RSF) mengecam tindakan penculikan kejam itu.
Menurut RSF, kereta Zogo yang rosak teruk ditemui di luar sebuah balai polis di pinggir bandar Cameroon pada Selasa. – AFP, 23 Januari, 2023.
Komen