GREECE mengerahkan pesawat pejuang untuk mengiringi penerbangan Ryanair dari Poland, selepas menerima amaran bom daripada pihak berkuasa.
Penerbangan Ryanair yang membawa 190 penumpang diiringi dua jet F-16 yang berlepas dari Katowice ke Athens, ketika memasuki ruang udara Greece dari Macedonia Utara.
Sebelum itu, Boeing 737 berkenaan diiringi pesawat pejuang dari Hungary.
Penerbangan itu akhirnya mendarat di kawasan terpencil di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens sebelum jam 4 petang waktu tempatan dengan kelewatan hampir dua setengah jam.
Jurucakap polis Greece Constantia Dimoglidou berkata semua penumpang turun dan kini sedang diperiksa.
“Terdapat 190 penumpang dalam pesawat itu termasuk anak kapal. Selepas ini pesawat akan diperiksa,” katanya.
Ketika pesawat menghampiri Athens, ia kemudian dilencongkan ke atas laut sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengurus perhubungan awam di lapangan terbang Katowice Piotr Adamczyk berkata pihaknya menerima amaran telefon ketika pesawat itu terbang di atas Slovakia.
“Selepas pesawat berlepas, terdapat panggilan ke pusat maklumat lapangan terbang mengenai kemungkinan terdapat bahan letupan di atas kapal.
“Kami menghubungi kawalan trafik udara, yang kemudiannya menghubungi juruterbang,” katanya. –AFP, 23 Januari, 2023.
Komen