SEBUAH pesawat persendirian Turki dengan 11 penumpang, semuanya wanita terhempas di Iran semalam ketika ia membawa anak perempuan kepada ahli perniagaan terkemuka dan rakan-rakannya kembali ke Turki selepas menghadiri satu acara sambutan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Pegawai Turki dan Iran berkata terdapat lapan penumpang dan tiga anak kapal dalam pesawat yang terhempas di selatan Iran ketika dalam perjalanan dari Sharjah ke Istanbul.
Laporan media di Turki berkata lapan penumpang itu termasuk Mina Basaran, anak perempuan kepada ahli perniagaan terkenal Turki, dan tujuh lagi rakannya yang bercuti di UAE sempena meraikan perkahwinannya.
Anak kapal termasuk dua juruterbang juga wanita, kata laporan itu.
Laporan itu disiarkan akhbar Hurriyet dan beberapa stesen TV Turki berkata pesawat Bombardier Challenger 604 itu milik Basaran Holding, syarikat bapa Mina, Huseyin.
Basaran yang berpangkalan di Istanbul aktif dalam sektor tenaga, pembinaan dan pelancongan. Ia juga memiliki rangkaian hotel.
Menurut laporan, sehari sebelum itu, lapan wanita muda terbabit memuat naik gambar mereka di media sosial, sambil tersenyum dan bergembira di Dubai.
Mina juga memuat naik gambarnya di media sosial sedang menaiki pesawat itu sebelum berlepas ke Istanbul, kata laporarn.
Beliau bertunang pada Oktober lalu dan percutian ke UAE itu adalah sambutan tradisional “selamat tinggal” kepada rakan-rakannya sebelum berkahwin.
Mina, 28, menjadi ahli lembaga pengarah syarikat bapanya pada 2013, lapor media Turki. – AFP, 12 Mac, 2018.
Komen