Kini masanya Gerakan tadbir semula Pulau Pinang, kata presiden


Angie Tan

Pulau Pinang salah satu daripada enam negeri di Semenanjung yang tidak membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2023.

GERAKAN, yang pernah mentadbir Pulau Pinang selama 39 tahun antara 1969 dan 2008, percaya masanya sudah tiba untuk parti itu menjatuhkan DAP dan mengambil alih semula negeri itu.

Presidennya Dominic Lau berkata, walaupun parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada 2018 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, namun ia mempunyai “konsep, strategi dan bakat” untuk memerintah Pulau Pinang semula.

Lau berkata satu-satunya usaha yang perlu dilakukan adalah untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan dan keupayaan mereka sebelum pilihan raya negeri akan datang yang mungkin diadakan pada pertengahan tahun ini.

Pulau Pinang adalah salah satu daripada enam negeri di Semenanjung yang tidak membubarkan DUN mereka dan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

Lima lagi negeri ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Enam negeri itu mesti mengadakan pilihan raya negeri sebelum September.

Lau memberitahu The Malaysian Insight, keutamaan Gerakan kini adalah untuk meyakinkan rakyat Pulau Pinang bahawa parti itu patut dipertimbangkan dan ia boleh menjadi pilihan yang lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan ketika ini yang diterajui DAP.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi Gerakan menjelang pilihan raya negeri adalah untuk menanam keyakinan dalam kalangan pengundi Pulau Pinang.

Meletakkan calon yang tepat, katanya, boleh membantu menyemai keyakinan itu.

Selain Pulau Pinang, parti liberal berusia 55 tahun itu, juga akan membantu rakan dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) – PAS dan Bersatu – di Selangor.

“Mereka adalah tumpuan kami.”

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata antara cabaran dihadapi parti itu menjelang PRN adalah untuk menanam keyakinan dalam kalangan pengundi Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2023.

Beliau berkata Gerakan yang penyokong utamanya datang daripada kaum Cina, menyerahkan kempen pilihan raya di Kelantan, Kedah dan Terengganu kepada Bersatu dan PAS.

Beliau berkata adalah lebih baik untuk menyerahkan negeri berkenaan kepada parti rakan kongsi berasaskan Melayu dan Islam.

Lau berkata jika keputusan PRU15 dijadikan kayu pengukur, maka PN akan berdepan sedikit masalah untuk mengekalkan negeri tersebut.

“PN akan tetap mengekalkan sokongan Melayu-Islam terhadap orang Islam yang mereka dapat pada PRU15.”

Pada pilihan raya umum tahun lalu, PN, dibantu “gelombang hijau” PAS yang menyapu bersih semua 14 kerusi parlimen di Kelantan dan 13 daripada 14 kerusi di Kedah.

Mereka hanya kalah di Sungai Petani kepada PKR.

Malah, buat pertama kali dalam sejarah, parti itu menyapu bersih semua lapan kerusi di Terengganu.

Lau berkata Negeri Sembilan tidak menjadi tumpuan mereka kerana PN percaya “cabaran yang lebih besar” ialah Pulau Pinang dan Selangor.

“Selepas menganalisis keadaan, kami merasakan ada peluang untuk mengambil alih Selangor.”

Mengenai calon Gerakan, Lau berkata parti itu akan berpegang kepada mereka yang dipilih sebelum PRU15.

“Kami fikir semua negeri akan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya serentak seperti sebelum ini. Jadi kami bersiap sedia.

“Tetapi pembubaran itu tidak berlaku. Tetapi dari satu segi, anda boleh menganggap kami sudah bersedia.”

Lau, yang akan bertanding di kerusi Bukit Tengah di Pulau Pinang, tidak menolak kemungkinan terdapat sedikit perubahan pada senarai calon.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan kemenangan PN. Jadi kami akan meletakkan calon terbaik dan yang kami yakini akan melaksanakan tugas dengan baik apabila dipilih.”

Pada 10 Januari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata peruntukan kerusi dalam kalangan parti PN di enam negeri itu sudah 80% selesai. – 23 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen