China lapor hampir 13,000 kematian akibat Covid-19 minggu lalu


Orang ramai beratur untuk memasuki Tokong Lama pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina di Beijing. – Gambar AFP, 22 Januari, 2023.

China melaporkan hampir 13,000 kematian berkaitan Covid-19 di hospital antara 13 dan 19 Januari, selepas seorang pegawai kesihatan tertinggi berkata sebahagian besar penduduk dijangkiti virus itu.

Pada minggu sebelumnya, republik itu melaporkan hampir 60,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di hospital setakat 12 Januari.

Bagaimanapun, terdapat keraguan yang meluas terhadap data rasmi sejak Beijing secara tiba-tiba menarik balik sekatan pergerakan susulan virus tersebut, bulan lalu.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China dalam satu kenyataan, semalam 681 pesakit yang dimasukkan ke hospital meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas disebabkan oleh jangkitan coronavirus, dan 11,977 meninggal dunia akibat penyakit lain yang dikaitkan dengan jangkitan sepanjang tempoh tersebut.

Angka itu tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat virus itu di rumah.

Firma ramalan bebas, Airfinity, menganggarkan kematian akibat Covid-19 setiap hari di China akan memuncak pada sekitar 36,000 sepanjang cuti Tahun Baru Cina.

Firma itu juga menganggarkan lebih 600,000 orang meninggal dunia akibat penyakit itu sejak China menarik balik dasar sifar Covid pada Disember.

Puluhan juta orang mengembara ke seluruh negara dalam beberapa hari kebelakangan ini bagi bertemu semula keluarga yang lama ditunggu-tunggu sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai penularan terbaru wabak itu.

Namun, seorang pegawai kesihatan tertinggi berkata China tidak akan mengalami gelombang kedua jangkitan Covid-19 dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang selepas berjuta-juta rakyatnya pulang ke kampung bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Ini kerana hampir 80% penduduk sudah dijangkiti virus itu.

“Walaupun sebilangan besar orang yang melancong semasa Festival Musim Bunga mungkin menggalakkan penyebaran wabak itu pada tahap tertentu… gelombang wabak semasa menjangkiti kira-kira 80% penduduk di negara ini,” Wu Zunyou, ketua ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China dalam catatan di Weibo, semalam.

“Dalam jangka pendek, sebagai contoh, dalam dua hingga tiga bulan akan datang, kemungkinan… gelombang kedua wabak di seluruh negara adalah sangat kecil.”

Pihak berkuasa pengangkutan China meramalkan lebih dua bilion perjalanan akan dilakukan bulan ini hingga Februari dalam salah satu pergerakan terbesar di dunia. – AFP, 22 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen