10 terbunuh dalam insiden bangunan runtuh di Aleppo, Syria


Kejiranan Sheikh Maksoud kebanyakannya didiami pelarian dari Turki dan mereka terpaksa tinggal di struktur bangunan tidak kukuh. – Gambar AFP, 22 Januari, 2023.

SERAMAI 10 orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh apabila sebuah bangunan runtuh di bandar Aleppo, Syria hari ini, lapor media kerajaan sambil menambah usaha menyelamat dan mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Struktur lima tingkat di kejiranan Sheikh Maksoud di bandar itu runtuh “disebabkan kebocoran air pada asas bangunan”, lapor agensi berita SANA memetik sumber polis.

Menurut agensi itu, pasukan penyelamat, pertahanan awam dan bomba giat meneruskan pencarian mangsa lain yang dipercayai hilang dalam runtuhan.

Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan 10 mangsa kesemuanya adalah pelarian dari daerah utara Afrin.

Kejiranan Sheikh Maksoud kebanyakannya didiami orang Kurdish Syria, termasuk pejuang, yang kebanyakan mereka melarikan diri dari Afrin selepas Turki memulakan serangan di sana pada 2018.

Hampir setengah juta orang terbunuh dalam konflik Syria sejak ia meletus pada 2011, dan kira-kira separuh daripada penduduk sebelum perangnya hilang tempat tinggal.

Ramai daripada mereka yang menjadi pelarian terpaksa berpindah ke bangunan yang strukturnya tidak kukuh, mengakibatkan kerap berlakunya runtuhan.

September lalu, sebuah bangunan runtuh di kejiranan Ferdaws di Aleppo membunuh 10 orang, termasuk tiga kanak-kanak. – AFP, 22 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen