ChatGPT lulus periksa peringkat sarjana, kata laporan


PERISIAN teknologi kepintaran buatan (AI) ChatGPT didapati berjaya lulus satu peperiksaan peringkat sarjana, menurut kajian sebuah universiti Amerika Syarikat.

Portal majalah Fortune menyebut, perkara itu ditemui dalam satu kajian di fakulti perniagaan University of Pennsylvania yang memeriksa keupayaan perisian baharu itu.

Dapatan itu dilaporkan pengkaji universiti tersebut Professor Christian Terwiesch yang mendapati AI tersebut “sepatutnya mendapat markah antara B hingga B- dalam peperiksaan itu”.

Menurutnya, perisian AI tersebut antara lain diberi tugasan menangani soalan proses analisis, salah satu kertas lazim bagi kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan universiti itu.

“(ChatGPT) mengkagumkan dalam menangani pengurusan operasi asas dan soalan analisis proses termasuk yang melibatkan kes kajian,” kata Terwiesch seperti dilaporkan portal itu.

Sejak dilancarkan pada November lalu, perisian kecerdasan buatan tersebut antara lain menarik perhatian para pendidik yang bimbang ia disalahgunakan pelajar.

Ia antara lain didapati mampu menyediakan dokumen perundangan dan edisi seterusnya dijangka mampu lulus ujian undang-undang.

Beberapa versi untuk kegunaan umum pada waktu ini didapati mampu menggubah lagu, puisi dan surat-menyurat dan dijangka mencapai keupayaan lebih tinggi dalam pelbagai bidang.

Teknologi tersebut kini menarik minat syarikat gergasi perisian Microsoft untuk melabur AS$10 bilion lagi dalam OpenAI, satu makmal teknologi Amerika Syarikat yang mengusahakan ChatGPT.

Syarikat induk Google, Alphabet juga menyatakan minat sama dalam perusahaan baharu itu yang menjadi ancaman kepada perniagaan enjin cariannya.

Laporan itu muncul selepas puluhan ribu pekerja teknologi diberhentikan kerja sejak awal tahun ini, termasuk oleh Google dan Microsoft.

Ketua Pegawai Eksekutif Google dan Alphabet Sundar Pichai dalam pengumuman mengenai pemberhentian kerja itu juga merujuk kepada pelaburan awal firma tersebut dalam teknologi AI.

Oleh itu, syarikat perlu membuat keputusan sukar dengan memberhentikan pekerja berkenaan Bagi merebut hasil pelaburan dalam AI, katanya.

“Ada peluang besar di hadapan kita dengan AI di seluruh produk kita dan kita bersedia untuk mendekatinya dengan berani dan bertanggungjawab,” kata Pichai. – 22 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen