Warga Pulau Pinang harap kerajaan Pakatan di Putrajaya


Looi Sue-Chern

Warga Pulau Pinang berkumpul di Esplanade di George Town sambil mengibarkan bendera negeri sebagai meraikan ulang tahun ke-10 pentadbiran pembangkang di negeri itu malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2018.

RIBUAN warga Pulau Pinang berkumpul di Esplanade di George Town malam tadi untuk meraikan ulang tahun ke-10 pemerintahan pembangkang di negeri itu.

Ketika mereka mendengar ucapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) peringkat negeri dan nasional, ramai berharap pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal membawa satu lagi perubahan – dan kali ini di peringkat persekutuan.

“Saya percaya ramai mahu perubahan dalam kerajaan persekutuan. Perubahan perlu berlaku,” kata K. Mohan dari Datuk Keramat yang turut menghadiri program ceramah mega itu.

Impian Putrajaya

Pesara berusia 60 tahun yang bekerja dalam bidang kewangan berkata beliau menyokong pembangkang dan mahu melihat PH menawan Putrajaya.

“Dengan kuasa yang sedikit, banyak boleh dilakukan oleh kerajaan negeri pembangkang. Saya harap PH akan berjaya ke Putrajaya kali ini,” katanya.

Mohan berkata beliau bimbang dengan gejala rasuah yang terus menjadi masalah di negara ini, walaupun pelbagai rundingan dan usaha dilakukan untuk memeranginya.

“Masalah bermula sejak lama dulu, ketika Dr Mahathir Mohamad masih berkuasa. Baguslah sekarang beliau sedar tentang masalah itu dan sanggup melakukan sesuatu.

“Tetapi ia sudah berlaku terlalu lama. Sukar untuk mengubahnya sekarang,” katanya.

Kebimbangannya yang lain ialah kemungkinan manipulasi pilihan raya berlaku pada PRU14 untuk memastikan BN terus berkuasa.

Katanya, sukar bagi PH jika ia berlaku tetapi tetap berharap rakyat boleh mengatasi halangan itu dengan keluar mengundi beramai-ramai.

“Saya juga berharap Dr Mahathir sihat untuk berdepan PRU ini. Pembangkang memerlukannya,” katanya.

Dr Mahathir, 92, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 ketika masih bersama BN, kini mengetuai pembangkang sebagai pengerusi PH dan Bersatu. Beliau juga calon perdana menteri untuk PH.

Juruteknik Khoo Khay Kheng, 50, berkata Dr Mahathir individu yang tepat untuk mengetuai kerajaan persekutuan PH.

“Banyak masalah di negara ini bermula daripada pentadbirannya. Beliau terlalu berkuasa pada masa itu.

“Saya tidak pernah menjangka beliau akan menyertai pembangkang. Maka beliau patut menyelesaikan masalah itu jika PH berjaya ke Putrajaya,” katanya.

Seorang lagi penduduk Datuk Keramat, Omar Khan Kassim, 65, berkata beliau juga mahu kerajaan persekutuan untuk berubah.

“Masa PRU 2013 saya rasa begitu juga. Sekarang, kita betul-betul perlu ubah kerajaan persekutuan supaya rakyat dapat hidup lebih baik,” katanya, memetik peningkatan kos sara hidup menjadi punca utamanya tidak berpuas hati dengan kerajaan BN.

Ahli perniagaan Rohana Abdul Razak, 33, dari Bukit Gedung berkata beliau ingin tahu apa pembangkang boleh lakukan jika berjaya ke Putrajaya.

“Hanya untuk lima tahun. Jika kita tidak suka dengan pencapaian mereka, kita boleh undi balik yang lama,” katanya.

Kerajaan negeri PH Pulau Pinang lakukan yang terbaik.

Kebanyakan warga negeri itu berpendapat kerajaan negeri pimpinan DAP sejak 2008 berjaya melakukan yang terbaik dalam kebanyakan bahagian.

Rohana, Omar dan Khoo semua memuji bantuan kebajikan tahunan yang diberikan kepada pelbagai kumpulan penerima seperti ibu tunggal, bayi baru lahir, pelajar dan warga emas.

Khoo berkata ibu bapanya dan rakan menerima manfaat daripada bantuan itu, walaupun jumlahnya tidak besar.

“Dulu tidak ada seperti ini. Saya fikir ia permulaan yang bagus untuk PH,” katanya.

Khoo berkata kerajaan negeri di bawah PH mengubah sistem lama secara perlahan-lahan, contohnya menjadi negeri pertama memperkenalkan dasar tiada beg plastik di pusat beli-belah.

“Mereka cuba memperkenalkan perubahan positif. Ia petanda yang baik. Baik juga untuk demokrasi, saya fikir.”

Mohan berkata beliau tidak ragu-ragu dengan pencapaian kerajaan negeri dan gembira dengan naik taraf infrastrukturnya.

Tetapi beliau berharap kerajaan negeri menghentikan pembangunan di kawasan tanah tinggi.

“Saya bimbang. Kita ada masalah banjir kilat. Saya percaya pembangunan di kawasan tinggi ada membawa kesan tidak baik,” katanya.

Pemimpin Pakatan Harapan mengambil tempat sebelum acara sambutan ulang tahun ke-10 pentadbiran pembangkang di Pulau Pinang bermula, di Esplanade, George Town malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2018.

Rohana berharap kerajaan negeri lebih bertimbang-rasa dengan peniaga kecil yang beroperasi di tepi jalan seperti di Esplanade dan Gurney Drive, yang popular dengan kunjungan ramai.

“Ketika BN berkuasa, mereka dibenarkan berniaga di situ. Tetapi tidak di bawah PH. Mereka juga tidak dapat lesen daripada kerajaan tempatan.

“Jadi tempat itu agak sunyi sekarang, mungkin kerajaan negeri boleh pertimbangkan,” katanya.

Tuduhan rasuah

Sokongan rakyat terhadap PH di Pulau Pinang juga tidak terjejas dengan siasatan terhadap projek terowong dasar laut dan lebuh raya yang sedang dijalankan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pemberian projek menerusi tender terbuka itu kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd. Kes itu mendapat liputan meluas media.

Khoo berkata beliau setuju semua pentadbiran tertakluk kepada periksa dan imbang, tetapi beliau melihat siasatan terhadap projek Pulau Pinang itu sebagai tindakan politik.

“BN cuba mensabotaj projek itu. Mereka tidak mahu PH berjaya menyiapkan projek mega.

“Jika PH berjaya, sukar bagi BN ambil balik Pulau Pinang,” katanya.

Ketika ditanya pendapatnya tentang siasatan SPRM, Omar berkata dengan sinis: “Apa yang BN buat semuanya betul. Pembangkang selalu salah.” – 12 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • PH boleh je lawan BN di Putrajaya tapi mampukah mereka (PH) tawan Putrajaya? Kebanyakan yang menyokong PH ramai dari kaum Cina yang mana di bawah parti DAP. Sebab itulah PH berkolaborasi dengan Tun M untuk meraih undi Melayu.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan