BERI wang tunai kepada pengundi semasa pilihan raya umum kemudian meminta mereka bersumpah untuk mengundi PAS bukan sedekah, sebaliknya sogokan atau rasuah, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.
Menurutnya, sedekah tidak ada timbal balasnya jika ia ikhlas diberi kepada orang yang memerlukan.
“Jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ianya bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah, ” katanya di Facebook malam tadi.
Beliau seterusnya menggesa Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya tidak mencari dalil untuk menghalalkan sebarang bentuk perbuatan rasuah.
“Kepada Haji Hadi, janganlah cari dalil untuk halalkan rasuah pengundi.
“Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihanraya?” katanya.
Isham mengulas kenyataan Hadi semalam, yang berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Beliau juga menyifatkan tindakan Umno memfailkan petisyen berhubung sogokan didakwa berlaku sewaktu kempen pilihan raya di Terengganu itu sebagai perang saraf.
“Itu gerak saraf… Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” kata Hadi yang juga ahli Parlimen Marang kepada pemberita selepas majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional, di Kuala Pilah semalam.
Mengulas lanjut, Isham berkata peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya menyebut larangan merasuah pengundi bukan hanya ke atas calon atau wakilnya, tetapi sesiapa sahaja atau bagi pihak calon.
“Beberapa petisyen dan laporan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dibuat ke atas kesalahan rasuah pengundi oleh Perikatan Nasional dan PAS semasa pilihan raya yang lepas.
“Apa yang mungkin ingin ditunjukkan oleh Allah SWT dalam pilihan raya baru-baru ini adalah orang-orang yang kononnya bergelar ulamak dan pak-pak lebai juga tidak imun dari gelap mata akibat duit dan rasuah,” sindir beliau.
Pada 3 Januari lalu pemimpin Umno memfailkan petisyen pilihan raya ke atas tiga kerusi Parlimen di Terengganu kerana mendakwa PAS menyogok pengundi melalui agihan wang tunai sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Agihan wang melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa itu didakwa dilakukan kerajaan negeri bermula 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15.
Petisyen difailkan untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman. – 22 Januari 2023.
Komen