6 lagi dokumen sulit ditemui di kediaman Biden


DoJ menjumpai enam lagi dokumen sulit di kediaman Presiden Joe Biden di Wilmington, Delaware. – Gambar EPA, 22 Januari, 2023.

PEGAWAI daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menemui enam lagi dokumen sulit semasa pemeriksaan di kediaman keluarga Joe Biden di Delaware minggu ini, kata peguam peribadi presiden dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pendedahan baharu itu menjadikan satu lagi fakta memalukan bagi Biden ketika beliau bersiap sedia untuk mengisytiharkan sama ada akan bertanding untuk satu penggal lagi pada 2024.

Biden menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dan menganggap ia satu kes kesilapan.

Dokumen dari zaman Biden sebagai naib presiden dengan tanda sulit ditemukan pada November lalu di bekas pejabatnya di sebuah badan pemikir di Washington, DC dan kemudian di kediamannya di Delaware. Keseluruhannya adalah kira-kira sedozen dokumen.

Selepas penemuan kedua, White House menawarkan untuk membenarkan DoJ menggeledah kediaman di Delaware—pengeledahan dilakukan pada Jumaat dan kini selesai, kata peguam Biden Bob Bauer.

“DoJ mengambil bahan yang dianggapnya dalam skop siasatannya, termasuk enam item yang terdiri daripada dokumen dengan tanda sulit dan bahan berkaitan,” kata Bauer.

Pencarian berlangsung hampir 12 jam dan meliputi “semua ruang kerja, tempat tinggal dan penyimpanan di dalam rumah,” kata Bauer.

“DoJ mempunyai akses penuh ke atas rumah presiden, termasuk nota tulisan tangan peribadi, fail, kertas, pengikat, memorabilia, senarai tugasan, jadual dan peringatan sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

Beberapa dokumen baharu yang dirampas adalah semasa Biden di Senat dan sebahagian daripadanya ketika beliau menjadi naib presiden, kata Bauer.

Pada Khamis, Biden menolak kebimbangan mengenai penemuan dokumen sulit lama.

Ditanya oleh pemberita semasa lawatan ke California mengenai isu itu, beliau berkata: “Saya fikir anda akan mendapati tiada apa-apa di sana.”

“Saya tidak menyesal. Saya mengikut apa yang peguam beritahu dan mahu saya lakukan. Itulah apa yang kami lakukan. Tiada apa di sana.”

Walaupun kes itu jauh lebih serius daripada tindakan Republikan Donald Trump membawa ratusan dokumen dari White House ke kediamannya di Florida selepas meninggalkan pejabat, Biden sedang menerima tekanan teruk daripada media, Republikan dalam Kongres dan siasatan DoJ yang dijalankan oleh majlis khas. – AFP, 22 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen