Peru tutup Machu Picchu susulan protes


Kerajaan Peru mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah yang memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan. – Gambar AFP, 22 Januari, 2023.

PERU menutup lokasi pelancongannya yang terkenal Machu Picchu ketika protes anti-kerajaan, kata Kementerian Kebudayaan pada Sabtu, dengan ratusan pelancong terkandas berhampiran kubu kota Inca di tengah-tengah pergolakan maut.

Demonstrasi menuntut peletakan jawatan Presiden Peru Dina Boluarte berlangsung sejak awal Disember, menyebabkan 46 orang terkorban dan mendorong kerajaan mengenakan perintah darurat di kawasan yang dilanda keganasan.

Pihak berkuasa mengumumkan pada Sabtu lalu seorang lagi penunjuk perasaan maut ekoran protes di selatan negara itu, dengan mangsa meninggal dunia ketika tiba di hospital tempatan di bandar Puno.

Sebelum penutupan Machu Picchu pada Sabtu, perkhidmatan kereta api ke tapak itu sudah digantung kerana landasan dirosakkan oleh penunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya 400 orang, termasuk 300 warga asing, terkandas di di bandar Aguas Calientes, dan merayu untuk dipindahkan.

“Penutupan rangkaian laluan Inca dan kubu kota Machu Picchu diarahkan kerana situasi sosial dan untuk memastikan keselamatan pelawat,” kata Kementerian Kebudayaan dalam kenyataan Sabtu.

“Tidak tahu sama ada kereta api akan mengambil kami. Semua pelancong di sini beratur untuk mendaftar” bagi pemindahan, pelancong Chile Alem Lopez memberitahu AFP pada Jumaat.

Pelancong tidak boleh meninggalkan tempat itu kerana landasan kereta api rosak di tempat yang berbeza, kata Menteri Pelancongan Luis Fernando Helguero pada Jumaat.

“Sesetengah pelancong memilih untuk berjalan kaki ke Piscacucho, tetapi ia akan mengambil masa enam jam atau lebih dan sangat sedikit orang yang boleh melakukannya,” katanya.

Piscacucho ialah perkampungan paling hampir dengan Machu Picchu yang disambungkan dengan jalan raya.

Pada Disember, beberapa ratus pelancong yang terkandas dipindahkan dari tapak berhampiran.

Penunjuk perasaan cuba mengekalkan tekanan ke atas kerajaan Peru, menentang perintah darurat yang kini meliputi hampir satu pertiga daripada negara itu.

Antara 46 yang maut termasuk 45 penunjuk perasaan dan seorang pegawai polis. – AFP, 22 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen