PASUKAN penyelamat di Vietnam berjaya membawa keluar mayat seorang budak lelaki berusia 10 tahun dari lubang tiang konkrit di tapak pembinaan, beberapa minggu selepas terperangkap, kata media kerajaan pada Jumaat.
Thai Ly Hao Nam terjatuh ke dalam lubang tiang selebar 25 sentimeter—pada kedalaman 35 meter bagi membina jambatan baharu—ketika mencari besi buruk pada 31 Disember.
Ratusan penyelamat, termasuk askar dan pakar kejuruteraan, dikerahkan ke lokasi di wilayah Dong Thap di Delta Mekong.
Empat hari selepas terjatuh, pihak berkuasa mengisytiharkan Nam mati dan berkata untuk mengeluarkan mayatnya akan menjadi “tugas yang sangat sukar”.
Pagi Jumaat, mayatnya berjaya dikeluarkan selepas penyelamat masuk sehingga 25 meter ke dalam lubang dan kemudian menggunakan peralatan khusus untuk membawanya naik, kata laman berita VNExpress.
“Operasi menyelamat berlangsung sangat lama. Memandangkan terdapat tanah mengelilingi tiang itu… mayat budak itu masih dalam keadaan baik,” kata naib pengerusi jawatankuasa wilayah Doan Tan Buu pada Jumaat.
Mayat budak itu kemudian diserahkan kepada keluarhanya untuk disemadikan.
Mengumpul besi buruk sering dilakukan penduduk miskin bagi mencari rezeki, walaupun kerja itu biasanya dilakukan oleh wanita. – AFP, 22 Januari, 2023.
Komen