Russia akan bertindak balas selepas Perancis bekukan akaun penyiarnya


Kementerian Kewangan Perancis memberitahu AFP, aset RT France dibekukan sebagai mematuhi sekatan terbaru Kesatuan Eropah. – Gambar AFP, 21 Januari, 2023.

MOSCOW akan bertindak balas terhadap media Perancis di Russia selepas akaun bank RT France, cabang penyiar negara itu di Perancis penyiar dibekukan, lapor agensi berita Rusia, hari ini.

“Pembekuan akaun RT France akan membawa kepada tindak balas terhadap media Perancis di Russia,” agensi berita TASS dan RIA Novosti memetik sumber kementerian luar tanpa mendedahkan namanya.

Langkah itu “akan diingati”, kata sumber itu, menuduh Paris “mengganas wartawan Rusia”.

Pada Jumaat, kesatuan RT France – disekat melakukan penyiaran – berkata akaun mereka dibekukan di negara itu.

Kementerian Kewangan Perancis memberitahu AFP, aset rantaian media itu dibekukan sebagai mematuhi sekatan terbaru Kesatuan Eropah, dan bukan atas inisiatif Paris.

Tidak seperti sekatan awal yang diputuskan selepas Moscow melancarkan serangan di Ukraine, langkah baharu EU yang diterima pakai pada Disember adalah berkaitan “pembekuan aset” entiti yang disasarkan, kata sumber kementerian yang sama.

Antara entiti tersebut ialah “ANO TV Novosti, syarikat induk yang memiliki 100% kepentingan dalam RT France”, kata sumber itu.

Bagaimanapun, wakil kesatuan sekerja RT France membantahnya, sambil mengatakan arahan itu datang sendiri daripada perbendaharaan Perancis.

“Kami menerima surat daripada bank kami pada 18 Januari yang mengatakan akaun bank kami dibekukan atas permintaan pengurusan am perbendaharaan,” kata wakil itu kepada AFP.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Eropah di Luxembourg menolak rayuan RT France terhadap sekatan penyiaran yang diperkenalkan EU sejurus selepas Kremlin menghantar tentera ke Ukraine.

Sehingga sekatan yang dilaksanakan Jerman pada akhir 2021, Perancis merupakan satu-satunya negara EU yang menjadi pangkalan kepada RT.

Kebanyakan media Barat tidak dibenarkan membuat penyiaran di Rusia dan malah laman web mereka turut disekat. – AFP, 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen