Perikatan bubar DUN tak ikut Pakatan, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu sedang mengkaji tarikh sesuai untuk membubarkan DUN Kedah, Kelantan, dan Terengganu melalui mesyuarat dalaman mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Januari, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) akan menentukan sendiri tarikh pembubaran tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasainya tanpa tertakluk kepada keputusan Pakatan Harapan (PH), kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Timbalan pengerusi PN itu berkata, gabungan itu sedang mengkaji tarikh sesuai untuk membubarkan DUN Kedah, Kelantan, dan Terengganu melalui mesyuarat dalaman mereka.

“Kami menentukan bila tarikh (bubar DUN)... Tidak tertakluk kepada keputusan PH. Nak buat cepat terpulang (kepada) mereka.

“Kita bincang sesama kita sendiri terpulang kepada kita, mereka nak ikut atau tidak terpulang,” kata Abdul Hadi dalam ucapan di satu majlis bersama penyokong parti di Kuala Pilah pagi ini.

Dalam sidang medianya selepas itu, Abdul Hadi berkata parti itu sedang menilai kesan kepada pengundi sebelum memutuskan tarikh pembubaran DUN.

“Terserah kepada (PH). Kita ada keputusan sendiri dan akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang, kita bincang sesama kita dahulu,” katanya lagi.

Jelasnya, PN antara lain mengkaji kesan kepada pengundi, pengundi luar, mahasiswa dan juga pengundi muda dalam menentukan tarikh membubarkan DUN bagi mengadakan PRN itu.

Selain itu, PN juga mengkaji faktor perayaan dan cuti umum dalam memutuskan tarikh tersebut, katanya.

Hadi mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengenai pertemuan dengan menteri besar dan ketua menteri di lima negeri lain berhubung penetapan tarikh PRN itu.

Menurut Aminuddin dalam kenyataan Selasa lalu, menteri besar dan ketua menteri PH sedang berbincang untuk bertemu rakan sejawat dari PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan 8 Disember juga menyatakan kesediaan untuk berbincang bagi membolehkan PRN diadakan serentak di enam negeri.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, saranan itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi PN.

Dalam acara hari ini, Hadi turut menyerahkan sijil keahlian PAS kepada beberapa individu termasuk bekas pemimpin Umno.

Ia termasuk bekas ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin dan seorang bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang yang juga bekas Adun Penanti Mohammad Fairus Khairuddin.

Penyanyi Dayangku Intan dan mantan ketua cawangan Umno Kampung Tengah Anuar Omar turut menerima sijil mereka hari ini.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata PN perlu mengekalkan momentum gelombang anak muda dan pengundi kali pertama untuk memenangi Negeri Sembilan.

PN tidak mempunyai sebarang kerusi di Negeri Sembilan pada waktu ini tetapi tidak mustahil akan tumbang ke tangan gabungan itu, kata Hadi.

“Kita harap PRN di enam negeri, di Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang seperti PRU.

“Suatu perkara tak mustahil, politik ini dinamik boleh berubah… Cuma tak mudah, kena bekerja bersungguh sungguh,” kata Abdul Hadi dalam majlis Semarak Gelombang Rakyat.

Turut hadir adalah naib presiden Bersatu yang juga ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin. – 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen