Elon Musk beri keterangan kes ciapan di Twitter


Elon Musk dipanggil untuk memberi keterangan selepas didakwa menyebabkan kerugian jutaan dolar pada 2018 dengan ciapan tidak benar mengenai Tesla. – Gambar EPA, 21 Januari, 2023.

KETUA Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk memberi keterangan dalam perbicaraan kes penipuan di California pada Jumaat, didakwa berbohong dalam ciapannya di Twitter untuk mengambil alih syarikat itu sebagai syarikat swasta.

Musk dipanggil untuk memberi keterangan oleh peguam bagi pelabur yang menuduhnya menyebabkan kerugian jutaan dolar pada 2018 dengan ciapan tidak benar mempunyai dana untuk membeli saham pada AS$420 seunit.

Ciapan jutawan itu menyebabkan harga saham Tesla tidak menentu dan Musk disaman oleh pemegang saham yang mendakwa taikun itu bertindak melulu dalam usaha untuk menyingkirkan pelabur yang tidak sealiran dengan syarikat itu.

Musk, yang membeli Twitter pada Oktober, memperkecilkan kuasa ciapannya dengan berkata beliau pernah memuat naik hantaran menyatakan harga saham Tesla terlalu tinggi dan “ia melonjak lebih tinggi dan bertentangan dengan gerak hati”.

“Apa yang saya cuba katakan ialah hubungan sebab-akibat jelas bukan hanya kerana ciapan,” kata Musk dalam keterangan yang berlangsung 30 minit dan akan diteruskan pada Isnin.

Perbicaraan pada Jumaat bermula dengan profesor undang-undang dan perniagaan Harvard, Guhan Subramanian, dipanggil sebagai saksi pakar oleh plaintif.

Beliau menyebut cadangan Musk yang diciap untuk menjadikan Tesla syarikat swasta sebagai “ilusi” dan “salah” dalam cara ia menyimpang daripada cara tawaran mega seperti itu biasanya berlaku.

“Apa yang boleh saya ia salah. Dalam soal proses perjanjian… ini tidak betul,” kata Subramanian semasa disoal oleh peguam bela mengenai ciapan Musk.

Testimoni dalam perbicaraan dibuka pada Rabu dengan peguam pelabur yang kecewa memberitahu juri Musk berbohong mengenai mempunyai dana.

Nicholas Porritt, yang mewakili plaintif utama Glen Littleton dan pelabur Tesla lain, berkata ciapan itu menyebabkan “orang biasa” kehilangan jutaan dolar.

Dipanggil sebagai saksi pertama, Littleton yang berusia 71 tahun memberitahu juri beliau banyak melabur dalam Tesla pada 2018 dengan cara yang bergantung pada kenaikan harga saham kepada AS$500 atau lebih.

Littleton memberi keterangan beliau “agak terkejut” dengan ciapan Musk mengenai pengambil alihan pada harga AS$420 sesaham kerana ia mengancam hampir semua wang yang dilabur dalam Tesla.

“Ia akan memusnahkan saya, ” kata Littleton.

Littleton memberitahu juri beliau bergelut untuk menyelamatkan apa yang boleh daripada pelaburannya dan keluar dengan kerugian besar.

Musk dijangka terus memberi keterangan di perbicaraan pada Isnin, apabila peguamnya akan mendapat peluang untuk menyangkal tuduhan beliau menipu. – AFP, 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen