Unit anjing pengesan K9 diperlukan di utara Semenanjung


Noel Achariam

Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu ditubuhkan di utara Semenanjung bagi memenuhi keperluan jika berlaku kecemasan di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Januari, 2023.

PENUBUHAN Unit Anjing Pengesan (K9) bagi keperluan kecemasan di negeri utara Malaysia sangat penting kerana pada masa ini hanya ada satu saja unit itu, dan ia berpangkalan di Kuala Lumpur untuk mengendalikan operasi di semenanjung, kata Ketua Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Penguasa Kanan Bomba ll Donny Chap.

Beliau berkata jika beraku insiden di utara, pasukannya perlu melakukan perjalanan beberapa jam untuk ke sana dan ini akan menjejaskan masa tindak balas pihaknya.

Pada masa sama, beliau berkata mereka juga memerlukan lebih banyak pengendali dan pelatih anjing pengesan untuk unit baharu itu.

“Ada beberapa isu yang menjejaskan operasi kami bila kami perlu melakukan perjalanan jauh.

“Jadi, amat penting untuk unit K9 ditubuhkan di utara. Ia akan banyak memudahkan untuk memberikan bantuan jika berlaku insiden atau operasi,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Tahun lalu, unit K9 mengendalikan lebih 200 operasi di seluruh negara, di mana kira-kira 125 daripadanya membabitkan siasatan kebakaran, manakala selebihnya operasi mencari dan menyelamat.

Pada masa ini terdapat 33 anjing di unit K9, dengan 22 anjing ditempatkan di Kuala Lumpur, lima di Sabah dan enam di Sarawak.

Beliau berkata jumlah anjing yang diperlukan bagi unit di utara akan bergantung kepada kekerapa operasi dijalankan di sana.

“Keperluan untuk unit K9 utara sangat penting kerana di sana juga banyak kes kebakaran, lemas, orang sesat, kematian dan tanah runtuh.

“Mungkin lebih 10 anjing dan pengendalinya akan diperlukan oleh unit itu.”

Ketua Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Penguasa Kanan Bomba ll Donny Chap.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Januari, 2023.

Katanya, jika penubuhan unit itu diluluskan, unit utara akan membantu kes di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan kawasan lain yang memerlukan bantuan.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid berkata pasukannya sedang mengkaji cadangan untuk menambah cawangan unit K9 di utara.

Beliau berkata tahun ini, jabatan itu akan menerima 12 anjing lagi selepas memperoleh kelulusan dari Unit Perancang Ekonomi.

Ia susulan anjing K9 berhidmat dengan cemerlang menerusi operasi mencari dan menyelamat dalam insiden tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lalu.

Hamdan berkata pakej pengendalian itu termasuk kos latihan anjing yang agak tinggi iaitu kira-kira RM400,000 hingga RM500,000.

Sementara itu, Donny berkata anjing penyelamat juga akan terseksa ketika melakukan perjalanan jauh.

“Anjing ini tidak boleh melakukan perjalanan lebih sejam kerana gegaran daripada kenderaan akan menyebabkan mereka rasa tidak selesa dan boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka.

“Jadi kami perlu berhenti beberapa kaji untuk anjing ini melakukan regangan, biasanya antara 20 hingga 30 minit,” katanya.

Selain itu, katanya mereka juga memerlukan kenderaan sesuai untuk membawa anjing ini kerana kenderaan lama biasanya bergegar teruk.

“Unit ini ada empat kenderaan pacuan empat roda, dan empat daripadanya usia sudah lebih 20 tahun.”

Berkenaan pengendali anjing, Donny berkata mereka memerlukan lebih ramai pegawai jika unit itu akan diperluaskan.

“Bagi memenuhi unit K9 di utara, ada keperluan untuk jabatan baharu sepenuhnya diwujudkan untuk pengendali dan pelatih anjing, dan siapa yang akan mengetuai pasukan itu.

“Kami tidak boleh pecahkan pasukan di sini untuk pergi ke utara. Mungkin beberapa pengendali kanan boleh pergi ke sana dan di sini untuk melatih kakitangan.” – 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen