Myanmar terima bekalan vaksin Covid-19 sumbangan China


Sejak pandemik Covid-19, China menyediakan sekitar 61 juta dos vaksin kepada Myanmar menerusi derma, pembelian dan pengeluaran secara bekerjasama. – Gambar EPA, 20 Januari, 2023.

BEKALAN kelompok kelapan vaksin Covid-19 yang mengandungi sebanyak tiga juta dos yang disumbangkan oleh kerajaan China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Myanmar semalam.

Menteri Kesihatan Myanmar Thet Khaing Win menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan yang dihulurkan China itu.

Beliau berkata sejak tercetusnya pandemik Covid-19, China menyediakan sekitar 61 juta dos vaksin kepada Myanmar menerusi derma, pembelian dan pengeluaran secara bekerjasama.

Angka itu merangkumi lebih 70% daripada jumlah suntikan vaksin diterima rakyat Myanmar.

Menurut Thet, sejak kebelakangan ini kadar jangkitan Covid-19 di Myanmar amat rendah dan kadar kematian hampir sifar.

“Ini sekali gus membuktikan keberkesanan vaksin China dalam mengurangkan kadar jangkitan teruk dan kematian.

“Sumbangan vaksin baharu dari China akan digunakan untuk suntikan dos penggalak kepada kanak-kanak sekolah dan warga emas yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Beliau turut yakin kerjasama muhibah antara Myanmar dengan China akan terus melakar kemajuan baharu pada tahun ini menerusi usaha bersama kedua-dua negara. – Bernama, 20 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen