PEGAWAI PBB hari ini mengatakan yang hampir AS$1 bilion diperlukan tahun ini untuk menyediakan bekalan makanan dan kebajikan hampir sejuta pelarian Rohingya yang tinggal dalam kem sesak di Bangladesh.
AS$950 juta untuk bantuan tahun ini adalah permintaan yang “sah dan sahih” berdasarkan keseriusan krisis itu, kata penyelaras residen PBB di Bangladesh.
“Ia krisis baru dan berterusan. Keperluan sangat besar. Mereka datang tanpa ada apa-apa. Kami harap sokongan akan diteruskan,” kata Ketua PBB Bangladesh Mia Seppo kepada AFP.
Permohonan pembiayaan itu mungkin dibincangkan di persidangan PBB di Geneva minggu ini.
Oktober lalu, dunia memberikan AS$345 juta bagi membantu krisis Rohingya. PBB pada ketika itu berkata ia memerlukan AS$434 juta bagi membantu pelarian Islam itu sehingga Februari.
Makanan, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan kekal menjadi keperluan mendesak untuk Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar selepas serangan tentera ke atas Negeri Rakhine sejak enam bulan lepas.
Tetapi ada perkara lain yang lebih mendesak. Disebabkan musim hujan yang makin hampir, kumpulan bantuan perlu memindahkan hampir 100,000 pelarian yang tinggal di kawasan terdedah kepada tanah runtuh dan banjir, kata Seppo.
Kumpulan Penyelaras Inter Sektor yang disokong PBB juga mengambil kira bajet tambahan seperti vaksinisasi besar-besaran menentang penyakit seperti taun dan demam campak, kata ketua kumpulan itu, Sumbul Rizvi.
November lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju untuk memulakan penghantaran balik Rohingya yang bersetuju kembali ke Rakhine, tempat tinggal mereka bergenerasi lamanya.
Tetapi proses itu kini tertangguh dan tidak dapat dipastikan bila ia akan bermula, kata Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh Mohammad Abul Kalam.
Suku daripada AS$950 juta pembiayaan tahun ini diperuntukkan kepada penduduk Bangladesh yang tinggal di Cox’s Bazar yang terjejas kehidupan mereka setelah kedatangan pelarian.
Hampir 700,000 pelarian Rohingya melintasi sempadan sejak Ogos lalu, menebang hutan dan tinggal di lereng bukit yang sudahpun padat dengan lebih 300,000 pelarian yang datang lebih awal.
Harga makanan naik mendadak dan persaingan pekerjaan serta sumber mewujudkan tekanan ke atas daerah pendalaman yang miskin itu, kata Kalam.
“Kita cuba beri pampasan kepada petani ini (penduduk tempatan),” katanya. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen