Presiden Brazil akan bertemu Biden di Washington 10 Februari depan


Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva akan berbincang dengan rakan sejawatannya dari AS Joe Biden, antaranya mengenai cara AS menguruskan golongan haluan kanan, selain memperbaiki hubungan yang keruh dicetuskan pendahulunya Jair Bolsonaro. – Gambar AFP, 20 Januari, 2023.

PRESIDEN Brazil Luiz Inacio Lula da Silva akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden di Washington pada 10 Februari.

Lula, bekas ahli kesatuan sekerja haluan kiri, yang mengambil alih jawatan pada 1 Januari buat penggal ketiga sebagai presiden, akan terbang ke Washington pada 9 Februari untuk lawatan dua hari, kata pasukan komunikasinya.

Lula berkata beliau mahu memperbaiki hubungan dengan kerajaan asing selepas ketegangan yang dicetuskan bawah pendahulu haluan kanannya Jair Bolsonaro.

Bolsonaro mengambil masa 38 hari untuk mengiktiraf kemenangan pilihan raya 2020 Biden ke atas Donald Trump, sekutu rapat bekas pemimpin Brazil itu.

Biden menjemput Lula ke White House pada 9 Januari, sehari selepas beribu-ribu penyokong Bolsonaro membuat tunjuk perasaan di Brasilia.

Ia adalah serangan yang mengingatkan kepada serbuan penyokong Trump terhadap Capitol di Washington dua tahun sebelumnya.

“Demokrasi adalah satu-satunya cara untuk kita membina sebuah negara yang kuat,” tulis Lula di Twitter pada Rabu.

“Itulah sebabnya saya akan bercakap dengan Biden untuk melihat bagaimana beliau menguruskan” golongan haluan kanan.

“Semua orang mahu bercakap dengan Brazil,” kata Lula awal minggu ini dalam temu bual dengan saluran TV Globo.

Lula, 77, akan memulakan lawatan antarabangsa pertamanya pada Ahad dengan melawat negara jiran Argentina dan Uruguay.

Beliau juga akan mengalu-alukan Canselor Jerman Olaf Scholz pada 30 Januari untuk membincangkan cara menangani ekstremisme haluan kanan. – AFP, 20 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen