EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menyalurkan pinjaman AS$2 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh dua bulan akan datang kepada Pakistan yang kekurangan tunai bagi menambah rizab asing negara itu yang semakin berkurangan, lapor Agensi Anadolu.
“Abu Dhabi Fund for Development (ADFD) telah menyalurkan deposit AS$2 bilion kepada State Bank of Pakistan (SBP), seperti yang dibincangkan oleh (Perdana Menteri Shehbaz Sharif) dengan Yang Amat Mulia Presiden UAE semasa lawatan rasmi minggu lepas,” kata Menteri Kewangan Ishaq Dar di Twitter lewat malam Rabu.
Negara Teluk yang kaya dengan minyak itu bersetuju untuk menukar deposit yang dibuatnya pada 2019 bagi tempoh masa yang tidak ditentukan, dan berjanji untuk memberikan pinjaman AS$1 bilion lagi kepada Islamabad semasa lawatan Sharif ke Abu Dhabi baru-baru ini.
Pinjaman itu dijadual dibayar pada Februari dan Mac tahun ini, yang ketika itu Pakistan akan mengalami kekurangan rizab asing.
Pada masa ini, rizab asing Islamabad berjumlah AS$4.3 bilion, rekod terendah sejak 2014 yang memaksa kerajaan mengenakan kawalan ketat ke atas import yang menjejaskan sektor pembuatan negara.
Pinjaman terbaharu itu, menurut ahli ekonomi, akan memberi peluang kepada Islamabad untuk membangunkan semula rizab tukaran asingnya dan memulihkan program Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) AS$6 bilion, berikutan kelewatan dalam pengeluaran bahagian AS$1.8 bilion.
IMF enggan melepaskan bahagian itu sehingga Islamabad bersetuju terhadap pelbagai tuntutan, termasuk pengenaan cukai tambahan dan penarikan subsidi, terutama ke atas produk petroleum.
Pakistan berhadapan masalah tunai yang serius dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus menyukarkan negara nuklear Asia Selatan itu untuk membayar hutang asing mengikut jadual.
Defisit akaun semasa negara itu menguncup kepada AS$3.33 bilion pada separuh pertama tahun kewangan semasa, di tengah-tengah kemelesetan ekonomi.
Banjir besar dan hujan lebat yang melanda satu pertiga negara itu tahun lepas menyebabkan kerugian besar AS$30 bilion kepada ekonomi negara itu yang sudah pun meruncing dengan negara itu berusaha bangkit daripada kejutan pandemik koronavirus global.
Selain UAE, sekutu lamanya, Arab Saudi juga sedang mempertimbang untuk mendeposit AS$3 bilion lagi kepada SBP.
Riyadh yang sudah menyediakan bekalan minyak dengan pembayaran tertunda, juga mendeposit AS$2 bilion kepada SBP pada 2020 untuk menyokong rizab asing Islamabad. – Bernama, 20 Januari 2023.
Komen