POLIS telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih Isnin lepas.
Pemangku Ketua Polis Selangor S. Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.
“Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di Sungai Buloh hari ini.
Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.
Pada 16 Januari lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.
Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.
Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri. – Bernama, 19 Januari, 2023.
Komen