MENJELANG sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Presiden China Xi Jinping meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk dan pegawai di peringkat akar umbi melalui pautan video di samping mengucapkan selamat TBC kepada seluruh rakyat.
Beliau turut bertanya khabar kepada petugas hospital, warga emas di rumah kebajikan, pekerja di medan minyak, kakitangan stesen kereta api laju (HSR) dan peniaga pasar borong.
Beliau turut berbual dengan doktor, jururawat dan pesakit di Hospital Pertama Universiti Perubatan Harbin di provinsi Heilongjiang.
Presiden Xi gembira dan berpuas hati dengan jumlah pesakit kritikal yang semakin menurun, kemudahan wad dan katil hospital serta ubat-ubatan mencukupi.
“China telah membuat pilihan yang betul untuk mengendalikan pandemik menerusi langkah kawalan ketat sepanjang tiga tahun lalu, menyaksikan negara ini berjaya menahan tempias beberapa pusingan mutasi virus.
“Langkah berkenaan berjaya meminimumkan kadar jangkitan teruk dan kematian, melindungi keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat sekali gus memperoleh masa berharga untuk terus mengoptimumkan respons Covid-19,” kata beliau.
Menurut beliau, China kini mengalihkan tumpuan daripada pencegahan jangkitan kepada rawatan perubatan dengan matlamat untuk menjamin kesihatan rakyat dan mencegah jangkitan yang teruk.
Justeru katanya, usaha perlu digandakan untuk mempertingkat penawaran perkhidmatan perubatan dan bekalan ubat-ubatan, khususnya persiapan bagi merawat pesakit bergejala teruk.
“Perlindungan dan penjagaan kebajikan terhadap kakitangan perubatan juga perlu ditingkatkan bagi menjamin kesihatan mereka,” kata beliau.
Sempena sambutan perayaan tradisional, Xi turut menekankan perlunya menjamin bekalan elektrik dan gas asli, memperkasa kawal selia keselamatan makanan, melaksanakan langkah kawalan wabak dengan baik serta mengelak daripada berlakunya insiden kecemasan dan keselamatan, agar rakyat dapat meraikan TBC dalam suasana meriah dan sentosa. – Bernama, 19 Januari, 2023.
Komen