Najib gagal bantah hakim Mahkamah Rayuan dengar permohonan semakan


Noel Achariam

BEKAS perdana menteri Najib Razak gagal untuk membantah hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais daripada menganggotai panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan kes rasuah SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel lima hakim berkata hujah pihak pembelaan tidak sepenuhnya meyakinkan yang hakim tersebut perlu tarik diri.

“Undang-undang secara jelas (terangkan) yang ketua hakim boleh melantik hakim Mahkamah Rayuan untuk semakan Mahkamah Persekutuan.

“Kami menolak hujah bahawa beliau (Abu Bakar) tidak sepatutnya terlibat,” kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman berkata permohonan itu ditolak dan mereka akan terus mendengar semakan.

Terdahulu, peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah telah membantah hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar daripada dipilih sebagai salah seorang panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan.

Shafee berhujah panel hakim hendaklah hanya terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan sahaja, merujuk kepada Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau juga mencadangkan supaya panel tiga hakim bersidang untuk mendengar permohonan semakan seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.

Hujah Shafee dibalas Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, yang berkata penyertaan Hakim Abu Bakar dalam panel Mahkamah Persekutuan dibenarkan mengikut peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu katanya membenarkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapatkan hakim Mahkamah Rayuan untuk menyertai panel Mahkamah Persekutuan selepas menimbangkan kepentingan keadilan.

Mahkamah Persekutuan hari ini bersidang untuk mendengar permohonan Najib menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim itu diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli. Turut bersidang adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Kiat, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar. – 19 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen