6 tonggak Madani perlu diterjemahkan dalam dasar negara, kata MB Selangor


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata gagasan konsep Madani oleh perdana menteri bukanlah bersifat populis, sebaliknya enam tonggak yang membentuk konsep itu sebenarnya mampu membentuk insan yang bagus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2023.

ENAM tonggak konsep Madani yang digagaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diterjemahkan dalam dasar negara secara menyeluruh dan bukan hanya bersifat populis, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata enam tonggak dasar yang meliputi Kemampanan; Kesejahteraan; Daya cipta; Hormat; Keyakinan dan Ihsan perlu juga ditekankan dalam pembinaan modal insan yang berupaya menyelesaikan masalah rakyat sekali gus membentuk insan yang dijamin kemampanan.

“Pelaksanaan program populis hanya menyebabkan kebergantungan (rakyat) dan akhirnya ia akan timbulkan kekecewaan dalam tempoh dan jangka masa yang sangat pendek,” katanya ketika menjadi panel pada Wacana ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Amirudin menyifatkan konsep Madani sebagai cara untuk merancakkan pembangunan fizikal ekonomi negara yang mewujudkan keadaan yang adil, makmur dan saksama yang dipacu dengan rancangan seperti di Selangor.

“Sebagai contoh Program Bitara Yayasan Selangor (Bitara) mengumpulkan pelajar pintar untuk dihantar ke 50 universiti terbaik dunia. Pada masa sama kita ada program tuisyen rakyat untuk membantu pelajar yang berpotensi gagal dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk berjaya dalam peperiksaan awam itu.

“Itulah perkara yang saya gambarkan dalam kita membantu yang cemerlang dan berpotensi, pada masa sama tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman melahirkan keyakinan bahawa konsep Madani yang akan menjadi wawasan negara mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan cemerlang.

Beliau berkata konsep Madani yang dilihamkan oleh Anwar bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya berdasarkan pengalaman panjang beliau menjadi pemimpin dari peringkat universiti sehingga bergelar pemimpin nombor satu negara ketika ini.

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia Prof Dr Haslinda Abdullah pula yang mengupas mengenai aspek ‘keyakinan’ dan ‘ihsan’, berkata dalam konteks membentuk kepercayaan, rakyat menuntut dasar yang adil dan dimanifestasi secara jelas di mana sistem itu juga harus bersifat holistik serta dirasai.

Beliau berkata bagi membina keyakinan kepada masyarakat, kepimpinan (dalam kerajaan) yang ada perlu sentiasa turun padang untuk merasai nadi masyarakat bagi menjelaskan konsep berkenaan.

“Dasar yang dirangka harus sensitif dengan masyarakat setempat dan alam sekitar di mana kita berada,” katanya.

Wacana yang diadakan sempena Majlis Amanat Perdana Menteri itu adalah bagi meneroka tonggak dasar Madani dalam usaha untuk memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran; falsafah; etika dan tindakan dalam membangun Malaysia Madani.

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan buku “Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi” dengan 215 halaman, terbitan IDE itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan presiden PKR itu selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Agenda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara tetapi turut menyentuh percorakan masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara.

Madani disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan; perundangan; institusi; pendidikan; kemasyarakatan; budaya; bandar dan luar bandar. – Bernama, 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen