Jerman di landasan tepat ke arah ekonomi neutral karbon, kata canselor


Canselor Jerman Olaf Scholz berkata negaranya kini memasuki fasa dinamik yang baharu sepenuhnya ke arah ekonomi neutral karbon, komited teruskan usaha nyahkarbon industri. – Gambar AFP, 19 Januari, 2023.

CANSELOR Jerman Olaf Scholz pada Rabu berkata negaranya berada di landasan tepat ke arah penyelesaian neutral karbon menjelang 2045 dan ia adalah “tugas asas untuk abad ini.”

“Transformasi Jerman ke arah ekonomi neutral karbon kini memasuki fasa “dinamik yang baharu sepenuhnya”.

“Kami komited meneruskan usaha nyahkarbon industri,” kata Scholz dalam ucapan ketika Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023, lapor Agensi Berita Xinhua.

Scholz berkata sektor pembuatan negara akan kekal kukuh selepas matlamat neutral karbon tercapai.

Menjelang 2030, sebanyak 80 peratus tenaga elektrik negara akan dijana daripada sumber boleh diperbaharui, peningkatan beberapa kali ganda daripada paras semasa, katanya.

Jerman akan melabur sekitar 400 bilion euro (kira-kira US$432 bilion) untuk merancakkan industri tenaga boleh diperbaharui bermula saat ini hingga 2030.

“Titik perubahan ke arah industri mesra iklim ini bukanlah penamat kepada kuasa industri, tetapi permulaan baharu,” katanya. – Bernama, 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen