Pfizer jual lebih banyak ubat dengan harga kos ke negara miskin


Pfizer akan memperluas jumlah ubat dan vaksin yang dijual secara bukan untuk keuntungan kepada negara miskin di seluruh dunia. – Gambar EPA, 18 Januari, 2023.

SYARIKAT farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer semalam mengumumkan akan memperluas jumlah ubat dan vaksin yang dijual secara bukan untuk keuntungan kepada negara miskin di seluruh dunia.

Langkah itu sebahagian daripada inisiatif dikenali sebagai “Kesepakatan untuk Dunia Lebih Sihat”, diumumkan di Davos tahun lalu.

Bercakap pada mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Davos, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla mengumumkan pihaknya akan mula menawarkan senarai penuh produk dengan hak global pada kadar kos kepada 45 negara berpendapatan rendah.

Beliau berkata pihaknya akan memasukkan ubat tidak dipatenkan, menjadikan jumlah keseluruhan ditawarkan adalah kira-kira 500 produk.

“Kami lancarkan inisiatif ini untuk membantu mengurangkan jurang ekuiti kesihatan yang ketara,” katanya.

Pada Mei lalu, Pfizer mula menawarkan 23 produk paten miliknya secara bukan untuk keuntungan kepada negara miskin.

Albert berharap langkah itu akan membantu pihaknya mencapai dan mempercepat wawasan dunia yang menyasarkan semua orang memiliki akses kepada ubat dan vaksin diperlukan untuk hidup lebih lama dan sihat.

Pengembangan itu katanya, akan membantu menangani beban penyakit dan keperluan pesakit bagi 1.2 bilion individu di 45 negara berpendapatan rendah.

“Penawaran portfolio Accord kini, termasuk kedua-dua ubat dan vaksin dipatenkan dan tidak dipatenkan yang merawat atau mencegah pelbagai ancaman penyakit berjangkit serta tidak berjangkit terbesar yang dihadapi di negara berpendapatan rendah hari ini.

“Ini termasuk kemoterapi dan rawatan kanser mulut yang berpotensi untuk merawat hampir sejuta kes baharu di negara Accord setiap tahun,” katanya.

Seorang daripada 13 kanak-kanak di sub-Sahara Afrika, meninggal dunia sebelum ulang tahun kelahiran kelima, berbanding seorang daripada 199 kanak-kanak di negara berpendapatan tinggi. –AFP, 18 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen