Bursa mata wang kripto terbesar dunia Binance lancar platform di Bahrain


Pengguna di Bahrain kini boleh mengakses bursa mata wang kripto terbesar di dunia, Binance, yang dikawal selia untuk membuat transaksi berkaitan aset kripto dalam mata wang tempatan. – Gambar EPA, 18 Januari 2023.

BINANCE, bursa mata wang kripto terbesar di dunia, melancarkan platformnya di Bahrain di bawah naungan Bank Pusat dan Lembaga Pembangunan Ekonomi negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Pengguna di Bahrain kini boleh mengakses binance.bh yang dikawal selia untuk membuat transaksi berkaitan aset kripto dalam mata wang tempatan dengan menghubungkan akaun bank dengan akaun binance.bh, kata gergasi kripto itu dalam kenyataan pada Isnin.

Bercakap pada acara pelancaran, Gabenor Bank Pusat Bahrain Rasheed Al Maraj menyambut baik keputusan Binance untuk membuka ibu pejabat serantau untuk operasi serantaunya di Asia Barat.

“CBB menyasar untuk membangunkan rangka kerja penyeliaan yang memudahkan inovasi dan kawal selia yang sesuai untuk penyedia khidmat dagangan aset yang disulitkan dan para pelanggan mereka, berdasarkan arah aliran dan perkembangan global dalam khidmat kewangan,” katanya.

Khalid Humaidan, ketua eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, memuji komitmen negara itu dalam pelaburan teknologi kewangan.

“Pelancaran platform itu memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai hab terkemuka untuk aset kripto, blockchain dan inovasi teknologi kewangan, bukan sahaja di rantau ini bahkan di seluruh dunia,” katanya. – Bernama, 18 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen