Singapura yakin selesai isu tertunggak dua hala dengan Malaysia


SINGAPURA yakin “kemajuan ketara” boleh dicapai dalam menyelesaikan beberapa isu dua hala dengan Malaysia yang masih tertunggak, kata menteri luar republik itu, Vivian Balakrishnan.

“Kami rasa sudah sampai masa untuk menyelesaikannya” katanya dipetik Channel News Asia semalam.

Balakrishnan berada di Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari bermula Ahad lepas.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

Sementara itu Balakrishnan berkata isu Pulau Batu Puteh antara perkara yang akan disentuh semasa lawatan rasmi Anwar ke Singapura pada hujung bulan ini.

Ia berkait kenyataan Anwar ada 14 Disember lalu, berkenaan arahan kepada Peguam Negara Idrus Harun untuk diminta mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh.

Anwar berkata Kabinet meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit berkait tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang diserah kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008.

Balakrishnan berkata kerajaan Singapura akan menyatakan pandangan terhadap kenyataan Anwar itu dalam rawatan rasmi perdana menteri ke republik itu nanti.

“Saya tidak akan memberikan perinciannya buat masa ini. 

“Tetapi apa yang saya boleh katakan kita mempunyai pemimpin dari kedua-dua pihak yang sangat berpengetahuan mengenai latar belakang sejarah dan mengapa kita harus menyelesaikannya dan bergerak maju ke hadapan,” katanya. – 18 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen