Pakistan minta UAE jadi perantara pertikaian dengan India


Persengketaan antara Pakistan dan India sekian lama berlanjutan terutamanya membabitkan Jammu dan Kashmir, yang kekal menjadi menghalang kepada hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara jiran. – Gambar AFP, 18 Januari 2023.

PERDANA Menteri Pakistan Shehbaz Sharif meminta campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan pertikaian Kashmir yang berlarutan dengan India sambil menggesa Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertindak sebagai perantara, lapor Agensi Anadolu.

Dalam temu bual dengan saluran berita Al Arabiya yang disiarkan pada Selasa, Sharif berkata negara Teluk yang kaya dengan minyak itu mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi yang rapat dengan New Delhi dan Islamabad, justeru dilihat ia mampu memainkan peranan “penting” dalam membawa dua negara itu ke meja rundingan.

“Mesej saya kepada kepimpinan India dan Perdana Menteri Narendra Modi ialah biarlah kami  mengadakan perbincangan yang serius dan ikhlas untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit seperti Kashmir.

“Terpulang kepada kita sama ada ingin hidup aman dan maju atau berperang antara satu sama lain, dan membuang masa dan sumber.

“Kita telah melalui tiga siri peperangan dengan India dan ia hanya membawa lebih banyak kesengsaraan, kemiskinan dan pengangguran kepada rakyat,” katanya memetik tiga peperangan antara kedua-dua negara iaitu pada 1948, 1965, dan 1971.

“Kami mahu mengurangkan kemiskinan, mencapai kemakmuran dan menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan serta pekerjaan kepada rakyat kami, dan tidak membazir sumber untuk bom dan peluru ... itulah mesej, saya ingin saya sampaikan kepada PM Modi,” katanya.

Persengketaan antara Pakistan dan India sekian lama berlanjutan terutamanya membabitkan Jammu dan Kashmir, yang kekal menjadi menghalang kepada hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara jiran.

Hubungan dingin antara kedua-dua negara terus meruncing selepas India memansuhkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang sudah lama wujud pada Ogos 2019.

Bagaimanapun, pada 2021 kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata 2003 di sepanjang Garis Kawalan (LoC), iaitu garis kawalan tentera sepanjang 724 kilometer.

UAE memainkan peranan dalam gencatan senjata, diikuti dengan pertukaran surat antara kedua-dua perdana menteri serta laporan yang belum disahkan mengenai hubungan “pintu belakang” untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Namun begitu, Islamabad mengulangi bahawa memulihkan hubungan dengan New Delhi adalah bergantung pada semakan keputusan 5 Ogos 2019 dan penyelesaian muktamad pertikaian Kashmir. – Bernama, 18 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen