AFRIKA Selatan mula berkabung tujuh hari mulai Selasa bagi menghormati Frene Ginwala, mendiang speaker pertama Parlimen yang dipilih secara demokrasi di negara itu, lapor Agensi Anadolu.
Presiden negara itu Cyril Ramaphosa mengisytiharkan tempoh berkabung pada malam Isnin bagi wanita itu yang turut memainkan peranan dalam menamatkan dasar apartheid. Beliau mengarahkan Bendera Negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sehingga petang 24 Januari ini.
Ginwala meninggal dunia Khamis lepas di rumahnya di Cape Town pada usia 90 tahun.
Pihak presiden berkata Ginwala berkhidmat dengan baik untuk negaranya dalam pelbagai peranan termasuk sebagai aktivis antiapartheid, peguam, ahli akademik, pemimpin politik dan wartawan.
“Antara peranan utama beliau adalah membatalkan perundangan apartheid yang sudah berpuluh tahun serta membentuk asas perundangan Afrika Selatan yang bebas dan demokratik,” kata pejabat Ramaphosa dalam satu kenyataan.
Afrika Selatan menamatkan pemerintahan apartheid berdekad-dekad pada 1994 dan mengadakan pilihan raya berbilang kaum pertamanya yang dimenangi oleh parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah.
“Banyak hak dan faedah material yang dinikmati oleh penduduk Afrika Selatan hari ini hasil program perundangan Parlimen demokrasi pertama di bawah kepimpinan Dr Ginwala, dengan Nelson Mandela menduduki kerusi Presiden pertama yang dipilih oleh Parlimen demokratik,” kata Ramaphosa. – Bernama, 18 Januari 2023.
Komen