PARLIMEN China hari ini menghapuskan penggal pentadbiran presidennya bagi membolehkan pemimpin tertinggi negara itu mentadbir sehingga selama mana pun.
Kelulusan ini bagi membolehkan Xi mendapat sepenuh kuasa bagi meneruskan matlamatnya mengubah negara itu sebagai negara “superpower” dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.
Tindakan itu sekali gus menidakkan kepimpinan secara kolektif yang dilaungkan bekas presiden Deng Xiaoping sebelum ini.
Penggubalan perlembagaan bersejarah itu disokong oleh 2,958, manakala dua menentang dan tiga lagi memilih untuk berkecuali.
Xi orang pertama yang mengundi untuk penggubalan itu.
“Ini adalah harapan terdesak rakyat marhaen,” kata delegasi dari wilayah Heilongjiang, Ju Xiuqin kepada AFP, langsung menandakan kononnya ia adalah kehendak kebanyakan massa.
Xi, 64, menjawat sejak 2012 apabila dilantik sebagai setiausaha agung Parti Komunis.
Sementara kedudukannya tidak mempunyai tempoh penggal, dua pendahulunya telah meletak jawatan selepas dua penggal kerana mengikut tradisi lama yang diasaskan Deng. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen