SEORANG warga Indonesia telah dibaham sampai mati oleh harimau Sumatera di sebuah kampung pedalaman, kata pihak berkuasa.
Ini adalah serangan kedua yang meragut nyawa tahun ini.
Pada Sabtu, Yusfi Effendi, 34, ditemui mati dengan kesan kecederaan teruk di leher oleh rakan sekerjanya dan penduduk setempat di Riau, Sumatera, kata agensi pemerhati tempatan.
Mangsa ketika itu sedang memasang jaring penghalang di sebuah bangunan di kampung Tanjung Simpang sebelum harimah itu datang berlegar di tapak pembinaan itu.
Beberapa jam selepas ternampak kelibat harimau itu, Effendi dan tiga rakan sekerjanya melarikan diri sedaya mungkin. Namun harimau itu tiba-tiba muncul di hadapan mereka.
Rakan sekerjanya, yang selamat dalam kejadian itu memberitahu pihak berkuasa yang mereka lari berselerak bagi memeningkan binatang itu, namun Effendi tidak bernasib baik.
Kumpulan pencari kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedar diri di tebing sungai, kata pihak berkuasa.
“Bila mereka buka bajunya, mereka nampak kesan gigitan di leher,” agensi pemerhati Riau berkata dalam satu kenyataan.
Perbalahan antara manusia dan binatang merupakan perkara biasa di Indonesia, terutamanya di kawasan yang mana hutan tropika telah dimusnahkan untuk membangunkan ladang kepala sawit.
Pembangunan ladang kelapa sawit semestinya memusnahkan habitat asal binatang-binatang hutan selain menyebabkan mereka akan sentiasa bertembung dengan manusia. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen