DALAM temu ramah dengan televisyen Amerika Syarikat, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata mungkin Ukraine, Tatar atau “Yahudi” yang mengganggu pilihan raya AS 2016, bukan Kremlin.
“Kenapa awak putuskan yang pihak berkuasa Rusia, termasuklah saya, memberi arahan untuk buat perkara sebegitu?” tanya Putin dalam temu ramah dengan televisyen NBC.
Tahun lalu, agensi perisikan AS merumuskan yang Putin secara peribadi mengarahkan pasukan perisiknya mempengaruhi pilihan raya presiden AS 2016 bagi menjatuhkan parti Demokrat dengan menaikkan Donald Trump.
Bulan lalu, Peguam Khas AS Robert Mueller yang menerajui penyiasatan peranan Rusia dalam kempen pilihan raya itu mengatakan 13 warga Rusia dan tiga syarikat Rusia terlibat membelakangi Trump.
“Jadi, apa salahnya jika mereka orang Rusia?” kata Putin tentang tuduhan itu yang transkripnya dikeluarkan NBC Jumaat lalu.
“Ada 146 juta rakyat Rusia. Jadi? Saya tak peduli. Saya tak perlu peduli pun… Mereka tak mewakili kepentingan Rusia pun.
“Mungkin,” kata Putin, “mereka itu bukan orang Rusia tetapi orang Ukraine, Tatars atau Yahudi yang memegang kerakyatan Rusia, yang mana juga boleh disemak. Mungkin mereka ada dua kerakyatan atau ada kad hijau, atau mungkin AS yang bayar mereka buat kerja sebegitu.
“Bagaimana saya boleh tahu tentang semua itu? Saya pun tak tahu.”
Walaupun dengan dakwaan Mueller setebal 37 muka surat itu, Putin bagaimanapun berkata yang setakat ini beliau belum nampak sebarang bukti yang tuduhan itu melanggar mana-mana undang-undang.
“Kami di Rusia tidak boleh menghukum sesiapa selagi mereka tidak melanggar undang-undang Rusia… Sekurangnya berikan kami kertas laporan… Bagi kami dokumen. Serahkan kepada kami permohonan rasmi. Kami akan tengok dan semak.”
Trump berkali-kali menafikan sebarang campur aduk Moscow itu. Malah Putin hanya mentertawakan sahaja tuduhan itu.
“Bolehkah sesiapa percaya yang Rusia, beribu batu jauhnya… mempengaruhi keputusan pilihan raya? Bukankah itu tak masuk akal bunyinya?” soal Putin. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen