POLIS Jerman membuka siasatan percubaan membunuh selepas kebakaran di sebuah masjid berhampiran Stuttgart di mana molotov koktel dicampak.
Kebakaran masjid di bandar Lauffen pada malam Khamis lalu menyebabkan kerosakan bahan sebelum imam di situ berjaya memadamkan api.
Pendakwa raya Stuttgart dan polis tempatan berkata lima orang sedang diburu berhubung cubaan membunuh.
Kenyataan bersama mengatakan, “beberapa molotov koktel dicampak ke dalam masjid melalui tingkap terbuka,” sambil menambah mereka menganggap insiden itu sebagai kemungkinan serangan perkauman atau anti-Islam.
Jerman didiami kira-kira tiga juta orang etnik Turki. Pada Sabtu pemimpin komuniti, Gokay Sofuoglu, mengecam kejadian tersebut sebagai “jenayah tidak berperikemanusiaan” dan “tindakan keganasan”.
Terdapat 950 serangan di Jerman pada tahun lalu terhadap umat Islam atau tempat yang dikaitkan dengan Islam, menurut kementerian dalam negeri. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen