Umno Terengganu patut petisyen 8 kerusi Parlimen Perikatan, kata Ahmad Said


Diyana Ibrahim

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Ahmad Said berkata hanya tiga petisyen dikemukakan di Mahkamah Tinggi – Kuala Terengganu, Kemaman, dan Marang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2023.

UMNO Terengganu asalnya mahu memfailkan petisyen bagi semua lapan kawasan pilihan raya Parlimen di negeri itu yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lepas, kata pengerusi badan perhubungan negeri Ahmad Said.

Bagaimanapun hanya tiga petisyen yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi – Kuala Terengganu, Kemaman, dan Marang – berdasarkan bukti jelas daripada saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS untuk memancing undi, katanya.

“Kalau ikutkan amalan pertuduhan rasuah beli undi ini berlaku di lapan daerah di Terengganu tapi setakat ini kita hanya berjaya kumpul saksi hanya tiga kerusi sahaja… yang lain itu sukar.

“Mereka mengaku ada amalan itu tapi bila kita minta nak jadi saksi di mahkamah mereka tolak. Kita sukar nak dapat kerjasama saksi, sebab itu kita hanya berjaya fail (petisyen) tiga kawasan sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Ahmad, bagi tiga petisyen itu, Umno sudah mengumpulkan hampir 20 saksi berumur antara 18 hingga 20 tahun yang sanggup memberi keterangan di mahkamah nanti.

Tiga petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari, tarikh akhir yang ditetapkan untuk bantahan di mahkamah selepas 21 hari keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwarta.

Kuala Terengganu dimenangi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Amzad Hashim dengan majoriti 40,907 undi, hampir menyamai majoriti besar yang diraih Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Marang dengan 41,729 undi.

Kemaman pula dimenangi Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi mengalahkan Ahmad. 

Sementara itu, Ahmad berharap mahkamah akan memberi keadilan dan pilihan raya semula dapat dibuat bagi tiga kerusi itu.

Katanya, Umno yakin akan menang petisyen itu berdasarkan duluan keputusan mahkamah dalam petisyen sama atas isu rasuah melibatkan kawasan pilihan raya Parlimen Cameron Highland sebelum ini, yang membawa kepada pilihan raya kecil pada Januari 2018.

“Sebenarnya kalau Umno dapat semua saksi di lapan parlimen sudah tentu kita akan saksikan pilihan raya umum diadakan semula (di Terengganu),” katanya, sambil menambah pengundi muda yang mendakwa menerima sogokan “bukannya tahu apa-apa”.

Sementara itu, peguam yang mewakili pempetisyen Amir Othman berkata semua petisyen umumnya difailkan atas dakwaan ada amalan rasuah semasa tempoh berkempen PRU15.

Merujuk petisyen bagi Marang sebagai contoh, beliau menjelaskan antara bukti yang akan dikemukakan nanti termasuk rakaman video yang menunjukkan seorang ahli jawatankuasa PAS Marang memberi sogokan.

Pihaknya juga membantah bantuan program kerajaan negeri yang diagihkan belia, mahasiswa dan warga emas semasa tempoh berkempen, yang juga bersifat sogokan.

Menurut Amir, pihaknya sudah menyerahkan petisyen kepada tiga ahli Parlimen PAS berkenaan. – 16 Januari, 2023


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen