LETUPAN loji kimia di China meragut dua nyawa dan mencederakan 34 yang lain, lapor media republik itu hari ini.
Letupan berlaku petang semalam di sebuah kilang di wilayah Panshan, wilayah timur laut Liaoning, menurut penyiar CCTV negeri.
Seramai 12 orang hilang selepas letupan dan yang cedera dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, kata CCTV, memetik kenyataan pegawai tempatan.
“Kebakaran kini terkawal dan api yang masih ada pada tahap stabil,” kata CCTV.
Video dan gambar yang disiarkan oleh CCTV menunjukkan kepulan asap tebal dan api menjulang keluar dari kilang, dan sekumpulan anggota bomba memakai topi keledar di luar loji.
CCTV berkata lebih 330 anggota bomba dihantar untuk memadamkan kebakaran.
Kemalangan industri sering berlaku di China yang disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan penguatkuasaan yang lemah.
Pada Disember, 18 orang terperangkap di bawah tanah selepas lombong emas runtuh di wilayah Xinjiang, barat laut China. – AFP, 16 Januari, 2023.
Komen