Dilema Anwar Ibrahim 


SIMPATI kepada Anwar.

Itulah kalimat awal yang ingin saya nyatakan sebagai menghormati Perdana Menteri. Tulisan ini mungkin akan mengguris hati.

Sebagai Perdana Menteri dan pemimpin politik veteran, Anwar Ibrahim tentu menyedari wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong (YDPA) hendaklah terhenti menjalankan fungsi YDPA jika dipertuduh atas suatu kesalahan. 

Bahasa mudahnya bermaksud bahawa YDPA kena meletakkan jawatan jika baginda dipertuduh atas suatu kesalahan bawah mana-mana undang-undang di Mahkamah Khas yang ditubuhkan.

Begitu tegas dan keras peruntukan undang-undang, hatta ke atas YDPA yang menjadi Ketua Negara Malaysia. Baru dituduh sahaja, sudah diminta letak jawatan. Belum bicara lagi. Belum tentu bersalah atau tidak bersalah.

Jadi Kerajaan Anwar Ibrahim sekarang tidak dapat mengelak diri jika rakyat yang celik huruf dan ilmu pengetahuan bertanya satu soalan, iaitu bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) adalah sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah? 

TPM1 sekarang berada di peringkat membela diri. Pada akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Inilah yang saya simpati kepada Anwar. Inilah dilema Perdana Menteri kita sekarang.

Dari satu segi, komitmen Anwar untuk membawa tatakelola yang baik di dalam pentadbiran kerajaan tidak dipertikaikan oleh rakyat. Hasrat Anwar untuk mewujudkan satu pentadbiran kerajaan yang berintegriti mendapat restu dan dipercayai rakyat. 

Berpuluh tahun majoriti rakyat mimpikan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Termasuklah penulis kerdil ini.

Tetapi realiti yang wujud di siang hari bukannya mimpi indah itu tadi. Realitinya berbeza sama sekali.

Inilah dilema Anwar. Tolak kerjasama dengan BN-UMNO yang dipimpin oleh TPM1 bererti Kerajaan Anwar Ibrahim tumbang. Anwar hilang jawatan. PH hilang kerajaan. Ramai yang akan meroyan.

Meneruskan kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan TPM1 dari kluster mahkamah sudah pasti menjejaskan imej Anwar, mencomotkan wajah Parti Keadilan Rakyat dan mencemarkan prinsip PH yang ingin membawa agenda reformasi institusi.

Jadi apa jalan keluar yang ada pada Anwar Ibrahim, Parti Keadilan dan PH?

Cuba lihat senario hipotetikal ini sebagai contoh. Senario ini dikemukakan sebagai contoh sahaja dengan semangat baik sangka (bona fide) bukannya berniat jahat atau mala fide. Langsung sama sekali tidak berhasrat melakukan sub judis atau cuba menghina mahkamah (contempt of court).

Penulis kena sebut ini semua sebagai exclusion clause untuk mengelak diri kecil ini dari ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah atau mungkin juga kesalahan fitnah jenayah atau lebih parah lagi dituduh di bawah Akta Hasutan.

Senario hipotetikal itu seperti berikut:

Apa jadi kalau kerajaan yang ada sekarang yang masih berkuasa dan dalam masa yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan TPM1 tidak bersalah dan dilepas serta dibebaskan dari berpuluh tuduhan jenayah yang dihadapinya?

Penulis percaya sudah pasti akan wujud keadaan di mana sesetengah rakyat akan cepat menuding jari dan menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah campur tangan dalam keputusan Mahkamah itu. Walhal keadaan yang sebenarnya mungkin Anwar Ibrahim tidak bersalah kerana beliau tidak campur tangan urusan Mahkamah seperti janji tegasnya selama ini yang mahu sistem Mahkamah berfungsi dengan bebas.

Fitnah ke atas Perdana Menteri akan terus berlaku.

Seterusnya senario itu bergerak ke fasa berikut:

Jika TPM1 didapati tidak bersalah dan dilepaskan, adakah Pendakwa Raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya?

Pendakwa Raya adalah orang yang sama iaitu Peguam Negara yang berfungsi sebagai Penasihat Kerajaan di mana TPM1 adalah bos nombor dua dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan?

Tidak wujudkah conflict of interest di pihak Kerajaan sama ada hendak membuat rayuan atau tidak membuat rayuan?

Ini satu lagi dilema Anwar Ibrahim.

Jika Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara tidak membuat rayuan, sebagai contoh andaian, maka yang jadi mangsa fitnah tetap Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Presiden Parti Keadilan dan Pengerusi PH itu akan dituduh cuba menyelamatkan TPM1.

Itulah susahnya dan dilemanya yang sekarang dihadapi Anwar kerana melantik TPM1 yang ada kes di Mahkamah.

Sebab itulah Institusi Yang diPertuan Agong dipandang mulia dan tinggi oleh rakyat kerana wujudnya Perkara 33(A)(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi, inilah dilema Anwar Ibrahim. Jika beliau tegas mengikut semangat dan konvensi perundangan perlembagaan dalam Perkara 33(A)(1) bermakna kerajaan perpaduan pimpinannya akan tumbang macam runtuhnya “daun terup”.

Sebaliknya jika kolaborasi antara Anwar, PH dengan TPM1 yang bermaslah dengan kes jenayah diteruskan, maka Anwar Ibrahim akan beransur-ansur hilang reputasi seorang reformis, Parti Keadilan Rakyat memasuki fasa gerhana dan gelap manakala PH hilang integriti dan tidak dipercayai lagi.

Pada hemat penulis, BN-Umno dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Tiada vaksin untuk menawar racun toksin ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati. – 16 Januari, 2023.


* Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen (PH/PKR) Pasir Gudang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen