Bekas ahli Parlimen wanita Afghanistan dibunuh lelaki bersenjata 


Semakin banyak insiden keselamatan berlaku di Kabul ibu kota Afghanistan sejak beberapa bulan lepas.– Gambar EPA, 16 Januari, 2023.

LELAKI bersenjata tidak dikenali menembak mati bekas ahli parlimen wanita Afghanistan Mursal Nabizada bersama seorang pengawal peribadinya di kediaman wanita itu, jurucakap polis Kabul Khalid Zadran mengesahkannya pada Ahad.

“Kejadian ngeri itu berlaku di Ahmad Shah Baba Mina, kejiranan Polis Daerah 12 di bandar Kabul, apabila lelaki bersenjata menyerbu rumah mangsa dan menembak bertubi-tubi pada malam Sabtu, membunuhnya dan seorang pengawal peribadinya selain mencederakan seorang daripada abangnya,” Zadran memberitahu Xinhua.

Siasatan telah dimulakan untuk mengenal pasti pelaku dan membawa ke muka pengadilan, kata jurucakap itu.

Nabizada pernah berkhidmat sebagai ahli Wolesi Jirga, dewan perwakilan Afghanistan semasa kerajaan terdahulu yang tumbang berikutan pengunduran tentera pimpinan Amerika Syarikat pada Ogos 2021.

Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu. Ahli keluarganya mahupun polis tidak menuding jari kepada mana-mana kumpulan atau individu tertentu.

Semakin banyak insiden keselamatan berlaku di Kabul ibu kota Afghanistan sejak beberapa bulan lepas, termasuk satu letupan bersebelahan Kementerian Luar yang menyebabkan sekurang-kurangnya lima maut dan mencederakan lebih sedozen yang lain pada Rabu. – Bernama, 16 Januari, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen