67 terbunuh pesawat terhempas di Nepal


Sekurang-kurannya 67 terbunuh selepas sebuah pesawat membawa 72 penumpang terhempas di Nepal semalam, kata polis. – Gambar Facebook, 16 Januari, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 67 terbunuh selepas sebuah pesawat membawa 72 penumpang terhempas di Nepal semalam, kata polis.

Enam kanak-kanak antara penumpang pesawat dua enjin ATR 72 itu ketika ia menjunam, berkecai dan terbakar dalam nahas di tengah bandar Pokhara, kata polis.

Tentera dan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tali dan pengusung untuk mengeluarkan mayat dari gaung sedalam 300 meter.

Setakat ini, nasib lima penumpang yang masih hilang tidak diketahui.

“Kami teruskan operasi mencari mangsa dan mengenal pasti mayat secepat mungkin untuk menyerahkannya kembali kepada waris,” kata jurucakap polis AK Chhetri.

Pihak berkuasa tempatan sebelum itu berkata ada mangsa terselamat dibawa ke hospital, tetapi ia tidak disahkan oleh pengendali pesawat itu, Yeti Airlines.

Jurucakap Yeti Airlines berkata 15 warga asing menaiki pesawat itu termasuk lima dari India, empat Russia dan dua Korea Selatan, dengan seorang penumpang masing-masing dari Argentina, Australia, Perancis dan Ireland, manakala selebihnya rakyat Nepal. – AFP, 16 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen