PAS dijangka main isu agama menjelang PRN, kata penganalisis


Angie Tan

Penganalisis berkata PAS mengharapkan sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam di enam negeri itu sambil mensasarkan untuk mengulang kejayaan memenangi kerusi Melayu pada pilihan raya umum lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2023.

PARTI Islam PAS sudah memulakan kempen menggunakan sentimen bangsa dan agama menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri di Semenanjung, kata penganalisis.

Ini termasuk kerjaaan negeri Terengganu yang mengukuhkan undang-undang Syariah, Kedah menutup premis judi dan bantahan ahli Parlimen PAS berkait promosi arak secara besar-besaran di sebuah pusat membeli belah di Pulau Pinang.

PRN bagi negeri ditadbir PAS – Kelantan, Terengganu dan Kedah serta negeri yang ditadbir Pakatan Harapan – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka bakal berlangsung pertengahan tahun ini.

Berkata kepada The Malaysian Insight, penganalisis berpendapat dengan memainkan kad agama, PAS mengharapkan sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam di enam negeri itu sambil mensasarkan untuk mengulang kejayaan memenangi kerusi Melayu pada pilihan raya umum lalu.

Penganalisis politik Tang Ah Chai berkata PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan terus memainkan sentimen agama hingga Jun atau Julai nanti.

Katanya, dalam politik di Malaysia, menggunakan kad agama adalah taktik yang sudah terbukti malah berjaya pada pilihan raya lalu.

Tang berkata tsunami hijau pada PRU15 menunjukkan kejayaan besar PAS yang menunjukkan parti itu memenangi kerusi terbanyak.

Apa yang dikesalkannya, ketika hak orang bukan Islam dipijak, hanya sedikit pemimpin politik Cina yang bangkit mempertahankan hak mereka.

Beliau melahirkan kekesalan itu khususnya terhadap MCA sambil menyifatkan kegagalan parti itu berdepan dengan PAS sebagai “sangat mengejutkan”.

“Walau MCA sekarang dalam parti kerajaan dan tidak sebulu dengan PAS tapi mereka masih pilih untuk diam,” katanya.

Namun Tang percaya MCA mungkin berpendirian, parti mereka tidak berada dalam kedudukan yang kukuh dalam kerajaan perpaduan itu.

DAP, parti utama dalam kerajaan perpaduan juga tidak terlepas daripada kritikannya.

Katanya, parti yang didominasi kaum Cina itu juga tidak jauh beza daripada MCA.

Seperti MCA, Tang berkata beliau percaya DAP memilih untuk diam kerana ketika mereka bersuara ia akan memberi peluang kepada PAS untuk menyerang balik.

PAS dan Perikatan Nasional akan terus memainkan sentimen agama hingga Jun atau Julai nanti sebelum PRN di enam negeri, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2023.

Gerakan yang juga parti berasaskan kaum Cina merupakan parti komponen PN itu dikatakan akan berbincang dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkait pandangan komuniti Cina terhadap penggunaan kad agama itu.

Bagaimanapun, Tang berkata Gerakan tidak dapat bersuara lebih kerana mengharapkan kerusi pada PRN akan datang.

“Mereka bergantung kepada PN dan mengharapkan diberikan kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Tang berkata dalam keadaan sekarang walaupun parti Cina menentang PAS menggunakan agama sebagai alat politik, mereka tidak mempunyai banyak pengaruh untuk menghalangnya.

“Apa pun respons mereka nanti hanya akan memberi mata kepada PAS,” katanya.

Katanya, kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dilihat tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan berkait penggunaan kad agama oleh pembangkang itu.

“Mereka hanya mahu elak daripada jatuh dalam perangkap politik PAS. Tak ada keperluan untuk respons terhadap provokasi itu.

“Jadi lebih baik diam sampai pilihan raya melainkan ada tanda provokasi PAS itu akan menjurus kepada tusnami hijau lagi atau sentimen bukan Islam kelihatan membara,” katanya.

Buat bising

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata punca utama pemimpin parti Cina berdiam diri kerana sudah bosan melayan situasi ‘pembalasan’.

Profesor madya dari Jabatan Sains Politik itu berkata walaupun orang bukan Islam mungkin tersinggung dengan tindakan PAS sebelum ini namun sekarang mereka tidak akan tutup mata.

“Jadi tiada apa yang perlu dibantah,” katanya.

Lau berkata orang bukan Islam tidak sepatutnya takut dengan PAS selagi parti itu tidak berkuasa di mana-mana peringkat.

Beliau mengambil contoh ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mat Jan yang menentang penjualan arak secara terbuka di pusat membeli belah di Pulau Pinang.

“Yang paling dia boleh buat pun hanya buat bising tapi tak ada kuasa untuk bertindak. Sebab dia bukan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah negeri,” katanya.

Bagaimanapun Lau berkata, jika di negeri diperintah PAS seperti Kedah, Kelantan atau Terengganu, pastinya ia menjejaskan hak orang bukan Islam kerana setiap dasar itu akan diIslamkan.

Pada 10 Januari lalu, Fawwaz yang juga ketua Pemuda PAS Pulau Pinang menyatakan bantahan penjualan arak secara terbuka di ruangan utama pusat beli-belah itu yang menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung beragama Islam. – 16 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen