PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu meramalkan “kejayaan besar” dalam perbincangan akan datang dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dan berkata negara itu mahu “berdamai” walaupun terdapat kebuntuan mengenai isu nuklear selama bertahun lamanya.
Kenyataan itu muncul selepas Trump mengakui mendapat sokongan daripada pemimpin China dan Jepun, dan memberi jaminan Korea Utara sudah berjanji untuk tidak melepaskan peluru berpandu buat masa sementara ini, menjelang kemuncak persidangan yang diumumkan mengejut minggu ini.
“Saya rasa Korea Utara akan berjalan dengan baik, saya fikir kita akan memperoleh kejayaan luar biasa. Saya fikir ini akan menjadi sesuatu yang sangat berjaya. Kami mempunyai banyak sokongan,” kata Trump kepada pemberita sebelum menaiki helikopter Marin Satu untuk ke perhimpunan di Pennsylvania.
Pada perhimpunan itu, beliau memberitahu para penyokong yang AS “menunjukkan kekuatan hebat” ketika ketegangan semakin memuncak dengan Pyongyang, tetapi beliau mengatakan sejauh pemimpin rejim itu “ingin berdamai.”
Terdahulu, Trump berkata Presiden China Xi Jinping menghargai keputusannya untuk memilih diplomasi dan bukannya “alternatif tidak menyenangkan”, sementara Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe “sangat bersemangat” mengenai perbincangan dengan Korea Utara.
Trump menghubungi beberapa pemimpin Asia melalui telefon pada Jumaat selepas keputusannya menerima jemputan bertemu Kim sebelum akhir Mei. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen