Seorang lagi ahli akademik kanan masuk Bersatu


Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik akan mengadakan sidang akhbar petang esok berhubung penyertaannya dalam Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018.

SEORANG lagi ahli akademik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik akan menyertai Bersatu esok.

Maszlee yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan desas-desus itu dan berkata pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat di pejabat Bersatu di Petaling Jaya tengah hari esok.

“Sidang medianya pada pukul 1 tengah hari,” katanya ringkas.

Ini penyertaan ahli akademik yang kedua ke dalam Bersatu dalam masa 10 hari selepas bekas pengasas dan CEO Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan lebih seminggu lalu.

Maszlee yang juga felo kanan Ideas, berkata keputusannya menyertai parti politik dan memilih Bersatu ialah demi masa depan Malaysia yang kini “berada di persimpangan”.

“Kita akan berdepan dengan pilihan raya yang akan menentukan masa depan negara, yang akan memaksa kita membuat pilihan,” katanya, dan menambah keputusannya masuk parti direstui oleh keluarga.

Beliau juga memberitahu The Malaysian Insight, soal bertanding PRU14 tidak timbul pada peringkat ini dan penyertaannya ke dalam Bersatu adalah untuk mengukuhkan penggubalan dasar yang hendak dilaksanakan oleh parti.

Maszlee, 44, merupakan penolong profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM, yang banyak membuat kajian tentang pemikiran dan gerakan Islam di Malaysia.

Anak kelahiran Johor ini mendapat pendidikan menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang agama sehingga ke Jordan dalam bidang fiqh dan usul fiqh.

Pada 2011, beliau mendapat ijazah kedoktoran dari University of Durham di England dalam bidang urus tadbir. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen