Lulus usul tiada pemilihan kemenangan moral bagi Zahid, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

Penganalisis melihat Ahmad Zahid Hamidi melepasi rintangan pertama untuk mengekalkan kedudukannya sebagai presiden Umno untuk sepenggal lagi tanpa dicabar biarpun partinya kalah teruk pada PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Januari 2023.

AHMAD Zahid Hamidi mendapat kemenangan moral, kata penganalisis, apabila Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berakhir semalam meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan sebelum Jun ini.

Mereka melihat Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, melepasi rintangan pertama untuk mengekalkan kedudukannya sebagai presiden Umno untuk sepenggal lagi tanpa dicabar biarpun partinya kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketetapan PAU semalam juga meletakkan cabaran kepada penentang Zahid yang kini berhadapan jalan berliku sekiranya masih mahu meneruskan hasrat mereka menggantikan kepimpinan sedia ada melalui pemilihan nanti, kata penganalisis.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat tanpa cabaran dari dalam Umno, kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin kukuh kerana ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga pendukung kuat kerajaan perpaduan.

“Kekalnya Zahid sudah pasti membawa kestabilan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar kerana beliau orang yang sangat kuat menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.

“Dengan kekal jawatan presiden untuk tiga tahun lagi, saya yakin sokongan Zahid kepada Anwar sebagai perdana menteri akan terus mengukuh pada masa akan datang,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Mazlan berpendapat keputusan PAU semalam juga menunjukkan Zahid mendapat sokongan kuat dalam Umno walaupun ada kumpulan yang menentang usul itu daripada diluluskan.

“Dengan sokongan ini Zahid tidak akan dicabar dalam pemilihan sekaligus menunjukkan beliau mendapat sokongan penuh akar umbi.

“Tidak timbul dakwaan Zahid seorang diktator kerana yang membuat keputusan memutuskan jawatan itu tidak dipertandingkan adalah perwakilan di PAU, bukan individu,” katanya.

Kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin kukuh kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga pendukung kuat kerajaan perpaduan. – Gambar Facebook, 15 Januari 2023.

Pertaruhan

Sementara itu, pensyarah politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tunku Mohar Mokhtar berpandangan, kedudukan kerajaan perpaduan akan menjadi taruhan sekiranya ada pertandingan jawatan presiden dan Zahid tewas.

“Sekiranya beliau tewas dalam pemilihan, walaupun itu sukar berlaku, individu (lawan Zahid) tersebut mungkin tidak meneruskan sokongan menyokong kerajaan perpaduan dan akan menjatuhkannya,” katanya.

Tunku Mohar tidak menolak kemungkinan perwakilan tidak lagi mahu melihat Umno berpecah melalui pertandingan dua jawatan tertinggi sehingga membuatkan mereka merasakan wajar Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan tidak dicabar.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno akan sekali lagi diuji tidak lama lagi dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Berkemungkinan besar mereka (perwakilan Umno) tidak mahu melihat perpecahan lebih besar berlaku dalam parti.

“Namun saya berpandangan sekiranya pertandingan dibenarkan, Zahid akan menang.

“Beliau mempunyai kelebihan sebagai anggota Kabinet, namun pemilihan itu akan memecah-belahkan parti yang kini sudah lemah,” katanya.

Menurut penganalisis, perwakilan tidak lagi mahu melihat Umno berpecah melalui pertandingan dua jawatan tertinggi sehingga membuatkan mereka merasakan wajar Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan tidak dicabar.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Januari 2023.

Fokus

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said dalam sidang medianya semalam berkata, dengan kedudukan dua jawatan tertinggi itu tidak dicabar, Umno boleh fokus untuk mengukuhkan parti dan bersatu menghadapi PRN.

“Kalau tidak bergaduh, tidak sibuk pertandingan boleh fokus PRN. Kalau kalah (pemilihan) ada yang merajuk, sabotaj balik, tidak ada penyatuan. 

“Kita tahu akan ada yang kecewa tetapi kita tak boleh puaskan hati semua. Mana ada parti boleh puaskan hati semua orang,” katanya.

Ahmad juga berkata usul itu dilakukan melalui undian dan 90 peratus perwakilan bersetuju dua jawatan utama parti itu tidak dicabar.

Dalam pada itu, penganalisis politik di Universiti Tasmania James Chin juga merasakan Umno perlu mengelakkan sebarang perpecahan menjelang PRN bagi mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu.

Selepas PRU15, Umno tidak mempunyai satu kerusi parlimen pun di semua negeri itu kecuali Negeri Sembilan.

“Ahli Umno kecewa dengan hasil keputusan PRU15 jadi sekarang mereka memutuskan mereka perlu mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu.

“Mereka tidak lagi mahu ada pergaduhan dalam parti melalui pemilihan,” katanya.

Adun Larkin Mohd Hairi Mad Shah, yang juga perwakilan PAU, mengharapkan Zahid akan berunding dengan kumpulan penentangnya untuk meredakan keadaan.

“Bawa semula rakan-rakan yang tidak sealiran atau berbeza pandangan ke meja rundingan besar, kerana akhirnya baik buruk rakyat melihat… bergaduh sekali pun duduk di satu meja yang besar,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Johor itu berkata, melalui rundingan Umno boleh meredakan perpecahan dalaman parti.

“Siapa sahaja jadi pemimpin pastinya kecaman atau tohmahan kepada pemimpin parti tetap ada. Perpecahan mungkin tidak besar sebab itu saya mengharapkan meja rundingan segera antara presiden bersama kumpulan yang rasa kecil hati atau tidak sealiran pendapat dengan beliau.

“Saya yakin dengan keterbukaan semua kumpulan tidak sependapat akhirnya dapat disatukan semula,” katanya lagi.

Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil sebelum ini berkata, Perlembagaan Umno tidak menghalang sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berhasrat menghantar pencalonan bertanding merebut jawatan presiden, walaupun perwakilan di PAU menerima usul tersebut.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sejurus ucapan penggulungan Zahid semalam menjelaskan Umno akan memutuskan sama ada pencalonan untuk dua jawatan itu, sekiranya ada, mahu diterima atau ditolak.

“Ibu pejabat tentu akan hantar kenyataan sama ada boleh hantar pencalonan atau tidak… kalau tidak dipertandingkan tentu ibu pejabat tidak akan menerima kertas pencalonan,” kata Ismail Sabri, yang juga bekas perdana menteri.

Antara yang disebut akan mencabar Zahid adalah bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas ahli Parlimen Rembau itu juga semalam mendakwa terdapat kepincangan dalam PAU ketika usul itu hendak diluluskan kerana kononnya ada ‘perwakilan’ yang diseludup masuk ke dewan persidangan.

Dakwaan itu dinafikan beberapa pimpinan kanan parti. – 15 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen