5 maut termasuk kanak-kanak dalam serangan udara di Myanmar


Myanmar bergolak sejak kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera hampir dua tahun lalu, menamatkan tempoh singkat demokrasi negara Asia Tenggara itu. – Gambar AFP, 15 Januari, 2023.

SEORANG wanita dan anaknya antara lima orang yang terbunuh dalam serangan udara tentera di timur Myanmar, kata pemberontak Karen dan kumpulan bantuan hari ini.

Myanmar bergolak sejak kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera hampir dua tahun lalu, menamatkan tempoh singkat demokrasi negara Asia Tenggara itu.

Empat jet pejuang junta menjatuhkan lapan bom di kampung di daerah Hpapun pada petang Khamis yang mengorbankan lima penduduk, kata Kesatuan Kebangsaan Karen dalam satu kenyataan.

Empat orang lagi cedera, kata kumpulan pemberontak etnik itu.

Sebahagian besar kumpulan Karen menetap di timur Myanmar berhampiran sempadan dengan Thailand.

Bagaimanapun usaha menghubungi junta Myanmar bagi mendapatkan keterangan lanjut tidak berjaya.

Kumpulan bantuan Kristian Free Burma Rangers berkata kakitangannya tiba di Kampung Lay Wah di Hpapun beberapa jam selepas bom memusnahkan dua gereja dan sebuah sekolah.

“Beberapa penduduk kampung menunjukkan kepada kami mayat lima penduduk yang dibunuh,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu berkata penduduk kampung melarikan diri ke dalam hutan sebelum serangan udara dan angka kematian akan lebih tinggi sekiranya kanak-kanak masih berada di dalam bilik darjah mereka.

Jurucakap Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen memberitahu AFP terdapat satu lagi serangan udara pada hari Jumaat.

Lebih 2,700 orang awam terbunuh sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021, menurut kumpulan pemantau tempatan. – AFP, 15 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen