PAU Umno lulus usul jawatan presiden, timbalan tidak dicabar


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

Keputusan itu dibuat majoriti perwakilan selepas selesai perbahasan usul ucapan dasar presiden petang tadi, kata Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said. 

“Sudah diluluskan, hanya beberapa orang beriya tidak menyokong, 90 peratus (perwakilan) beri sokongan terbuka. Nampaknya perwakilan Umno sayangkan parti,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Jelas Ahmad, walaupun perwakilan ada pandangan yang berbeza mengenai usul yang dikemukakan, lebih 90% perwakilan menyokong supaya tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno.

Tambahnya, usul itu diluluskan melalui undian oleh para perwakilan.

“Pengerusi tetap usulkan siapa menyokong bagi tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden bangun dan angkat tangan.

“Tidak sampai 30 hingga 40 orang yang tidak bangun, hanya beberapa orang,” kata Ahmad lagi.

Awal hari ini, pemimpin Umno menolak dakwaan Khairy Jamaluddin yang ada “perwakilan import” ke Dewan Merdeka bagi memastikan tiada pertandingan dua jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata dakwaan itu tidak berasas memandangkan setiap daripada pimpinan Umno yang menjadi perwakilan mengenali antara satu sama lain.

“Saya ketua bahagian di Selangor, saya kenal semuanya, timbalan, naib, setiausaha, begitu juga bahagian lain dari seluruh Malaysia,” kata ketua Umno bahagian Gombak itu.

Khairy mengeluarkan kenyataan itu melalui satu rakaman video di TikTok selepas ada dakwaan pelekat perwakilan dicabut daripada kerusi tempat duduk mereka di Dewan Merdeka, sedangkan selalunya ia dibiarkan sehingga selesai persidangan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil berkata perhimpunan agung Umno memakai tapisan pasukan keselamatan yang berpotensi untuk memastikan perkara seperti dakwaan Khairy itu tidak berlaku.

“Dakwaan KJ ini tidak benar. Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang. Tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ.

“KJ pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu,” kata Isham, merujuk panggilan mesra Khairy.

Beliau juga menyarankan Khairy membuat permohonan maaf kepada perwakilan kerana membuat tuduhan sedemikian. – 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen