2 lagi penduduk Palestin mati dibunuh Israel


Kematian terbaru itu menjadikan jumlah penduduk Palestin terbunuh tahun ini adalah seramai 12 orang sepanjang keganasan di Tebing Barat yang ditakluk Israel sejak 1967. – Gambar AFP, 14 Januari, 2023.

DUA penduduk Palestin terbunuh pada Sabtu pada operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Dua lelaki muda itu ditembak mati tentera Israel “ketika serangan di perkampungan Jaba, selatan Jenin” di utara Tebing Barat, kata kementerian.

Tiada butiran kejadian diberikan dalam kes kematian itu.

Tentera Israel dalam kenyataan ringkas berkata ia melancarkan “aktiviti anti keganasan” berhampiran perkampungan itu, dan “suspek menembak” ke arah mereka daripada kenderaan yang bergerak.

“Tentera kemudiannya membalas tembakan dan penyerang dikenal pasti,” katanya, menambah yang tiada tentera Israel dilaporkan cedera.

Kementerian Kesihatan Palestin menamakan mangsa terbunuh sebagai Ezzedine Bassem Hamamra, 24, dan Amjad Adnan Khaliliya, 23.

Seorang lagi penduduk Palestin, Yazen Samer Jaabari,19, juga maut selepas ditembak tentera Israel awal bulan ini, kata kementerian lagi.

Beliau ditembak ketika operasi tentera Israel pada 2 Januari lalu di perkampungan Kafr Dan, berhampiran Jenin, tempat di mana dua lelaki itu dibunuh, menurut agensi berita Palestin, Wafa.

Kematian terbaru itu menjadikan jumlah penduduk Palestin terbunuh tahun ini adalah seramai 12 orang sepanjang keganasan di Tebing Barat yang ditakluk Israel sejak 1967.

Israel melancarkan serangan hampir setiap hari ke Tebing Barat susulan gelombang serangan maut di Israel tahun lepas.

Ketegangan tahun lepas menyaksikan 26 penduduk Israel dan 200 Palestin terbunuh, menurut pengiraan AFP.

Lebih daripada 150 kematian berlaku di Tebing Barat. – AFP, 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen