Tiada perwakilan import untuk sokong usul, kata pimpinan Umno


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata dakwaan itu tidak berasas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2023.

TIADA perwakilan import diseludup ke Dewan Merdeka untuk meluluskan usul menyekat pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, kata dua pimpinan kanan parti, menjawab dakwaan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata dakwaan itu tidak berasas memandangkan setiap daripada pimpinan Umno yang menjadi perwakilan mengenali antara satu sama lain.

“Tidak timbul soal ada perwakilan tidak betul masuk dalam perhimpunan, ini kenyataan yang cukup memalukan, tak boleh sebut dalam perhimpunan yang patutnya kita angkat darjatnya.

“Bila duduk dalam kerusi itu kita kenal perwakilan negeri, melainkan kalau kita tak pernah turun ke akar umbi, tidak santuni kepimpinan akar umbi jadi kita tak kenal.

“Saya ketua bahagian di Selangor, saya kenal semuanya, timbalan, naib, setiausaha, begitu juga bahagian lain dari seluruh Malaysia,” kata ketua Umno bahagian Gombak itu.

Megat Zulkarnain, yang juga setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, iaitu presiden Umno, ditemui ketika melawat pusat media Perhimpunan Agung Umno (PAU) petang tadi.

Beliau berpendapat Khairy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya perlu menghormati perwakilan PAU.

“Saya pernah duduk sebagai exco pemuda dengan Khairy, ini bukan baru. Saya fikir beliau kena profesional… terima, jangan bila keputusan memihak kita, kita kata betul; jika sebaliknya, ini tidak jujur.

“Ini kenyataan tak sesuai dikeluarkan bekas pemimpin Pemuda Umno, kenyataan ini tak gambarkan kematangan dalam berpolitik,” katanya.

Khairy mengeluarkan kenyataan itu melalui satu rakaman video di TikTok selepas ada dakwaan pelekat perwakilan dicabut daripada kerusi tempat duduk mereka di Dewan Merdeka, sedangkan selalunya ia dibiarkan sehingga selesai persidangan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil berkata perhimpunan agung Umno memakai tapisan pasukan keselamatan yang berpotensi untuk memastikan perkara seperti dakwaan Khairy itu tidak berlaku.

“Dakwaan KJ ini tidak benar. Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang. Tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ.

“KJ pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu,” kata Isham, merujuk panggilan mesra Khairy.

Beliau juga menyarankan Khairy membuat permohonan maaf kepada perwakilan kerana membuat tuduhan sedemikian.

“Saya saran dengan segala hormatnya supaya KJ datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya.

“Jika tidak, saya harap KJ dapat meminta maaf kepada semua perwakilan Umno di sini kerana telah menuduh mereka diimport.

“Perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad Sabil Pemuda kerana telah memfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Fitnah itu lebih teruk daripada membunuh,” kata Isham.

Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berakhir petang ini akan menentukan sama ada usul jawatan tertinggi parti tidak dicabar diluluskan atau tidak selepas ia dibawa secara mengejut oleh perwakilan negeri semalam.

Semasa usul itu dibentangkan oleh perwakilan Negeri Sembilan semalam, Dewan Merdeka riuh dengan sorakan kelompok perwakilan yang terpecah antara menyokong dan tidak bersetuju. – 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen