Iran hukum mati bekas pegawai kanan didakwa perisik MI6


Iran melaksanakan hukuman mati ke atas bekas pegawai kanan tenteranya, Alireza Akbari, yang dituduh menjadi perisik UK. – Gambar AFP, 14 Januari, 2023.

IRAN pada Sabtu melaksanakan hukuman mati ke atas bekas pegawai kanan pertahanannya dan pemegang dua kewarganegaraan British-Iran, Alireza Akbari, yang dituduh sebagai perisik UK, lapor badan kehakiman.

Akbar dihukum mati kerana jenayah “korupsi di muka bumi dan mengancam keselamatan dalaman dan luar negara dengan menyerahkan maklumat sulit perisikan”, lapor agensi berita Mizan Online.

“Tindakan perkhidmatan perisikan British dalam kes membuktikan nilai pesalah, kepentingan aksesnya dan kepercayaan musuh kepadanya,” tambahnya.

Britain mendesak Tehran menangguhkan hukuman itu yang disifatkan Menteri Luarnya James Cleverly sebagai “bermotifkan politik.”

Pada Khamis, media negara itu melaporkan yang Akbari,61, memegang pelbagai jawatan kanan dalam sektor pertahanan negara itu.

Jawatan itu termasuklah “timbalan menteri pertahanan untuk hal ehwal luar” dan jawatan dalam “sekretariat Majlis Agung Keselamatan Nasional.”

Akbari juga dipercayai memegang jawatan “penasihat komander tentera laut” serta “mengetuai bahagian penyelidikan kajian ketenteraan.”

Dalam video diterbitkan media Iran, Akbari dilihat bercakap tentang hubungannya dengan Britain.

Beliau juga berkata yang beliau disoal siasat oleh British tentang pembunuhan ahli sains nuklear kanan Iran, Mohsen Fakhrizadeh, yang berlaku pada November 2020 dalam serangan yang dipersalahkan kepada musuh ketat Iran, Israel.

Akbari, veteran perang Iran-Iraq pada 1980-1988, ditahan antara Mac 2019 dan Mac 2020, lapor media.

Mizan, memetik kenyataan kementerian perisikan Iran, pada awal minggu ini melaporkan yang Akbari menjadi “perisik utama” untuk Perkhidmatan Perisikan Britain MI6, kerana “kepentingan jawatannya.”

Pada Februari 2019, akhbar rasmi kerajaan Iran menerbitkan wawancara dengan Akbari, yang dikenal pasti sebagai “bekas timbalan menteri pertahanan” semasa pentadbiran presiden Mohammad Khatami antara 1997-2005.

Pada awal Disember, Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas empat orang yang dituduh menjadi perisik Israel, lapor Mizan lagi.

Kesemua mereka digantung sampai mati empat hari selepas Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati kerana “kerjasama perisikan dengan rejim Zionis (Israel) dan penculikan.”

Hukuman Akbari berlaku ketika Iran terus dibelenggu dengan protes massa dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini, 22, seorang gadis berketurunan Kurd pada 16 September, selepas beliau ditahan kerana didakwa melanggar kod ketat pemakaian wanita di negara itu.

Kehakiman Iran mengesahkan yang 18 orang sudah dijatuhkan hukuman mati kerana kaitan mereka dengan protes itu, menurut jumlah dikumpul AFP berdasarkan pelbagai pengumuman rasmi kerajaan.

Daripada jumlah itu, empat sudah menjalani hukuman yang mencetuskan bantahan komuniti antarabangsa. – AFP, 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen