Mukhriz cadang Pejuang berundur seketika, kuatkan parti sebelum PRU16


Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir meminta perwakilan ke perhimpunan agung parti itu menyuarakan pandangan mereka terhadap cadangannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2023.

PRESIDEN Pejuang Mukhriz Mahathir meminta partinya membincangkan hala tuju mereka menjelang enam pilihan raya negeri yang perlu diadakan tidak lama lagi, termasuk kemungkinan “berundur seketika” untuk memulihkan parti sebelum pilihan raya umum akan datang.

Cadangan itu adalah antara lima pilihan yang beliau kemukakan kepada Pejuang ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung tahunan parti kali kedua, di Seri Kembangan, hari ini.

“Orang tua-tua pernah berpesan, berundur setapak untuk mara dua tiga tapak.

“Ini juga satu cadangan atas niat untuk melindungi parti dari mengalami kekalahan sebanyak tiga kali berturut-turut dalam tempoh yang singkat.

“Barangkali ada juga logik di sebalik cadangan ini,” katanya, dalam teks ucapan yang diedar kepada media.

Mukhriz meminta perwakilan ke perhimpunan agung Pejuang menyuarakan pandangan mereka terhadap cadangannya sebelum parti membuat keputusan, termasuk menentukan sama ada bertanding atau tidak pada enam pilihan raya negeri yang perlu diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

“Saya syorkan agar kita dengar pandangan wakil-wakil negeri hari ini, tetapi serahkan keputusan itu kepada Majlis Eksekutif Pusat atau mana-mana jawatankuasa yang diberi tanggungjawab itu,” katanya.

Selain berundur seketika, pilihan lain yang Mukhriz tawarkan ialah untuk Pejuang kekal bertanding sebagai komponen Gerakan Tanah Air (GTA) seperti pada PRU15 yang lalu.

“Ini telahpun kita lakukan pada PRU 15 dengan keputusan yang semua sudah tahu,” katanya.

Pada PRU15, GTA kalah semua kerusi parlimen dan negeri yang ditandinginya termasuk semua calonnya juga hilang wang pertaruhan.

Mukhriz juga mencadangkan kemungkinan untuk Pejuang bekerjasama dengan gabungan lain, sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun beliau menjelaskan kedua-dua gabungan itu ada masalah mereka yang tersendiri.

Satu lagi pilihan lain, tambahnya, ialah melihat kemungkinan Pejuang bertanding sendirian.

“Tentu ramai yang awal-awal lagi menolak cadangan ini berdasarkan kepada pengalaman kita di pilihan raya negeri Johor dan PRU15.

“Namun saya nyatakannya sebagai opsyen supaya kita betul-betul fikirkan kewajarannya,” katanya.

Jelas Mukhriz, dengan bertanding sendirian, Pejuang akan dilihat kekal berprinsip dan tidak bergabung dengan PH atau PN, yang setiap satunya ada masalah yang tersendiri.

Pejuang mengadakan perhimpunan agung tahunannya hujung minggu ini di tengah-tengah ketika sekumpulan pimpinan kanannya letak jawatan daripada majlis eksekutif pusat, antaranya timbalan presiden Marzuki Yahya.

Kumpulan itu letak jawatan tidak lama selepas Dr Mahathir Mohamad berundur dari jawatan pengerusi Pejuang. Bekas perdana menteri bagaimanapun kekal sebagai pengerusi GTA.– 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen